THOMAS
THOMAS
BERNAMA

MANA-mana individu yang menimbulkan dan menyebarkan pembohongan dalam isu membabitkan jangkitan koronavirus baharu di internet hendaklah disiasat.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata, individu terbabit boleh dituduh di mahkamah sekiranya wujud kes.

Beliau yang membuat keputusan itu demi kepentingan negara menegaskan bahawa tidak wujud kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah.

“Kebebasan untuk bercakap dan bersuara termaktub di bawah Perlembagaan serta jaminan hak di bawah undang-undang untuk tidak menapis internet seperti diperuntukkan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak membenarkan seseorang untuk menyebarkan pembohongan,” katanya semalam.

Berasaskan latar belakangnya selaku pendakwa raya, Thomas berkata, beliau memandang serius pembohongan yang berleluasa berhubung jangkitan itu yang menjadi perhatian rakyat Malaysia dan masyarakat global.

Jelasnya fenomena itu semakin menjadi-jadi akibat ketaasuban masyarakat mengaitkan sentimen perkauman dan agama ke dalam setiap isu kehidupan awam, yang boleh membahayakan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama erat dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang penyebaran kenyataan palsu berkaitan koronavirus dan pertuduhan akan dibuat terhadap individu terbabit dalam masa terdekat.

Thomas berkata individu terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang menyentuh kenyataan berhubung khianat awam.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:30 AM