BERNAMA

SEPANG: Pesawat khas yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak koronavirus baharu, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, awal pagi semalam.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada 5.57 pagi.

Seramai 107 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan virus itu.

Pesawat khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.

SERAMAI 107 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU). FOTO BERNAMA
SERAMAI 107 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU). FOTO BERNAMA

Pesawat itu turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke Pusat Pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 8:22 AM