TSK dipantau.
TSK dipantau.
HM Digital

TERMINAL Sentral Kuantan (TSK), Indera Mahkota di sini, turut dipantau dalam usaha mencegah penularan wabak koronavirus baharu.

Ini kerana terminal berkenaan menerima penumpang dari seluruh negara termasuk dari Kuala Lumpur yang menaiki bas ekspres dan teksi.

Justeru, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kuantan bekerjasama mengadakan sesi penerangan dan kaedah pencegahan kepada pengunjung khususnya penumpang bas bagi mengelak dijangkiti virus terbabit.

Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata, menerusi aktiviti pencegahan itu diharap orang ramai tidak berasa bimbang sebaik berada di daerah itu.

Bagaimanapun, katanya, kesedaran orang ramai memainkan peranan untuk menyekat penularan virus terbabit.

“Dalam menangani virus ini, pintu masuk di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) dan Pelabuhan Kuantan dipantau rapi. Begitu juga saringan kesihatan di hotel dan premis penginapan di daerah ini.

“Di daerah ini termasuk di Cherating, sebanyak 175 hotel dan premis penginapan menerima seramai dua juta pelancong termasuk warga China antara 10,000 hingga 13,000 pelancong,” katanya.

Katanya, sekiranya ada pelancong yang disyaki mempunyai simptom, individu terbabit diminta membuat pemeriksaan lanjut di hospital atau klinik kesihatan.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu komited memastikan saringan kesihatan dibuat di hotel dan premis penginapan di daerah ini.

“Antara usaha dilakukan adalah memastikan pemeriksaan menerusi

pengimbas haba ketika daftar masuk ke hotel dan premis penginapan bagi mengesan kehadiran mereka yang mengalami demam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 6:02 AM