SUSPEK dibawa untuk mendapatkan perintah mahkamah.
SUSPEK dibawa untuk mendapatkan perintah mahkamah.
Raja Noraina Raja Rahim

KEJAYAAN terbesar Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Jun tahun lalu menumpaskan sindiket penyeludupan rokok murah dan arak bernilai RM4.868 juta tercemar dengan penahanan sembilan anggota Unit Gempur Marin (Ungerin) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan lapan anggota berpangkat sarjan serta koperal itu ditahan SPRM di Pangkalan PPM Port Klang, Rabu lalu.

Dalam rampasan dianggap terbesar pada 19 Jun tahun lalu itu, Ungerin Bukit Aman yang mendapat maklumat melakukan serbuan ke atas sindiket terbabit yang dalam perjalanan menghantar barang seludup itu menggunakan tiga lori di Jalan Leban Chondong menghala ke Muadzam Shah, Pahang kira-kira jam 2 pagi.

Hasil serbuan itu, 279,000 karton rokok murah dianggarkan bernilai RM4.8 juta dirampas dan tiga lelaki iaitu pemandu lori terbabit ditahan.

Pegawai dan anggota terbabit kemudian meminta wang rasuah RM500,000 daripada pemilik barangan seludup serta pemandu lori berkenaan.

Namun, pemilik terbabit gagal memberi wang diminta menyebabkan mereka menyita barang rampasan, tiga lori tiga dan lima tan selain menahan tiga suspek berusia 20-an ke 50-an.

Semua barangan rampasan itu dibawa dan disimpan di PPM Port Klang sebagai bahan bukti.

Difahamkan, ketika dalam perjalanan, pegawai dan anggota terbabit yang memang berpakat ‘mencuri’ 35,000 karton rokok dan 720 botol arak untuk dijual kepada sindiket lain di Lembah Klang pada harga dianggarkan RM130,000 sebelum wang terbabit dibahagikan sesama mereka mengikut pangkat.

Tindakan pegawai dan anggota terbabit yang pernah berikrar taat setia dalam melindungi serta menguatkuasakan undang-undang ketika mula memasuki pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dianggap seperti harapkan pegar, pegar makan padi.

Penahanan semua suspek disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 namun enggan mengulas lanjut.

Sumber memberitahu Metro Ahad penahanan sembilan anggota Unit Gempur Marin itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Metro Ahad difahamkan semua yang ditahan direman tiga hari bermula Rabu lalu dan semalam, SPRM Pahang mendapat perintah mahkamah melanjutkan penahanan reman hingga 5 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 10:00 AM