PROTON satria berhenti mengejut kerana mengalami kerosakkan. FOTO Ihsan polis
PROTON satria berhenti mengejut kerana mengalami kerosakkan. FOTO Ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIGA maut termasuk seorang bayi dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 448 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh, tengah malam tadi.

Kemalangan jam 12.05 tengah malam itu menyebabkan mangsa, Asiah Mat, 74, dan Ain Fazira Mohd Yazid, 36, maut di lokasi kejadian manakala Nur Tiara Arisha Muhammad Taslim, sembilan bulan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB).

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan Proton Satria dan Mitsubishi ASX yang dalam perjalanan ke utara.

Menurutnya, Proton Satria dipandu lelaki berusia 31 tahun dikatakan berhenti kerana mengalami kerosakan sebelum dirempuh kenderaan utiliti sukan dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah belakang.

MITSUBISHI ASX merempuh kenderaan dari arah belakang. FOTO Ihsan polis
MITSUBISHI ASX merempuh kenderaan dari arah belakang. FOTO Ihsan polis

"Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa yang menaiki kereta berkenaan terpelanting keluar," katanya.

Beliau berkata, pemandu dua kenderaan itu mengalami kecederaan dan kini dirawat di HSB.

Katanya, mangsa yang maut dibawa ke HSB untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

REMPUHAN antara dua kenderaan Proton Satria (kanan) dan Mitsubishi ASX (kiri) di Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Buloh, tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 8:36 AM