ADA segelintir pelatih mula ‘liat’ menjalani latihan selepas dirisik pasukan liga tempatan.
ADA segelintir pelatih mula ‘liat’ menjalani latihan selepas dirisik pasukan liga tempatan.
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Pengurusan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang berdepan ‘gangguan’ membabitkan pelatih yang jika dibiar, boleh merencatkan pembangunan pada masa akan datang.

Antara bentuk gangguan yang perlu ditangani segera adalah ‘tempahan’ menerusi jalan belakang oleh beberapa pasukan liga tempatan hingga menyebabkan pelatih naik tocang serta enggan mengikuti latihan atau patuh pada arahan serta peraturan akademi.

Perkara terbabit disahkan Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir yang melakukan lawatan ke AMD sempena Piala Supermokh dan beliau terkejut apabila mendapat tahu mengenai gangguan terbabit.

Beliau berkata, tindakan beberapa pasukan tempatan yang menandatangani perjanjian bersama ibu bapa menyebabkan anak-anak mereka ‘liat’ untuk mengikuti arahan pihak pengurusan termasuk mula menjalani latihan sambil lewa.

“Saya difahamkan ada pelatih AMD diganggu pihak luar iaitu pasukan liga tempatan yang menandatangani pelatih menerusi perjanjian dengan ibu bapa mereka. Perkara terbabit bertambah buruk apabila pelatih mula melanggar peraturan kerana sudah ada pasukan yang akan mengambil mereka pada masa akan datang.

“Gangguan seumpama ini perlu ditangani segera malah jika dibiarkan akan merosakkan masa depan pelatih sebagai pelapis pasukan negara,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Jamal yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, pasukan tempatan seharusnya menunggu pelatih AMD matang sebelum diserapkan dalam skuad masing-masing dan bukannya menempah dari awal.

“Masanya akan tiba dan biarlah mereka berlatih dan menyerap segala model pembelajaran serta pembangunan bola sepak negara.

“Kita bukan saja mahu melahirkan pemain yang hebat dan terbaik namun perlulah selari dengan sahsiah diri termasuk patuh pada peraturan atau arahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:30 AM