Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon. FOTO Arkib NSTP
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berkebolehan dan mampu menjadi bintang pada masa akan datang mendorong tiga pasukan gergasi bola sepak tempatan membuat 'tempahan' pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) seawal usia 16 tahun bagi memastikan mereka tidak ketandusan pemain pada masa akan datang.

Selangor FC sudah menyambar enam pelatih AMD, Terengganu FC lima manakala Johor Darul Ta'zim (JDT), dua pelatih.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, pemain terbabit akan diserap ke pasukan Selangor 2 dan skuad Piala Presiden.

Beliau berkata, langkah yang diambil itu bagi memastikan Selangor terus mempunyai tonggak atau pemain pelapis berpotensi tinggi pada masa akan datang.

"Kita sudah menandatangani enam pelatih AMD dan mereka akan bersama Selangor pada musim depan dengan masing-masing akan berada dalam skuad pembangunan.

"Perkara terbabit dilakukan bagi memastikan Selangor mempunyai pemain pelapis berkualiti yang bersedia menggalas cabaran bermain di pasukan utama," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Akhbar ini semalam melaporkan produk AMD laku keras apabila ketika ini lebih 10 pelatih mereka sudah disunting oleh beberapa pasukan Liga M sekali gus menunjukkan ubi muda lebih mendapat tumpuan sebagai persediaan menghadapi cabaran pada masa akan datang.

Sementara itu, menurut sumber, Terengganu kini sedang mengintai lima pelatih AMD yang akan dibawa masuk ke dalam skuad pembangunan mereka pada musim depan.

"Terengganu dikhabarkan hampir pasti mendapatkan lima pelatih AMD dan mereka cukup serius bagi memantapkan lagi skuad pelapis," katanya.

Selain itu, difahamkan dua pelatih dianggap bakat terbaik generasi kedua AMD sudah menandatangani perjanjian bersama JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:55 AM