MOHAMMAD Hanif menunjukkan rumahnya yang dibina tanpa tingkap. FOTO Bernama
MOHAMMAD Hanif menunjukkan rumahnya yang dibina tanpa tingkap. FOTO Bernama
BERNAMA

KELAZIMANNYA sesebuah rumah dilengkapi dengan beberapa tingkap yang berperanan sebagai pengudaraan serta pencerahan ruang daripada cahaya matahari, namun sebuah rumah di Taman Koperasi di Kangar agak unik dan menarik perhatian sesiapa yang memandang kerana ia hanya mempunyai dua pintu tanpa sebarang tingkap.

Sekali pandang persis seperti sebuah gua, namun bagi seorang kontraktor elektrik, Mohamad Hanif Allah Pitchay, 42, beliau mempunyai alasan yang kuat mengapa rumahnya tidak mempunyai tingkap .

Mohamad Hanif berkata, sebelum ini rumahnya mempunyai tingkap seperti rumah lain, namun selepas dua kali dimasuki pencuri yang mengakibatkan kehilangan sejumlah wang dan motosikal, beliau mengambil keputusan ‘membuang’ semua tingkap pada hujung tahun lalu.

Ketika wartawan Bernama melangkah masuk ke ruang tamu rumah teres setingkat itu, mendapati suasana sedikit malap, cuma samar-samar cahaya matahari yang menerjah masuk menerusi pintu dan ruang udara kipas ekzos yang terdapat di rumah itu.

Mohamad Hanif yang menyambut mesra kehadiran Bernama, memetik suis lampu di kiri pintu bagi menerangi suasana dalam rumah sungguhpun cahaya matahari memancar dengan terang di luar.

“Sebenarnya idea mengubah suai rumah menjadi tanpa tingkap juga datang daripada ibu saya, Habsah Mohd Gani yang mana sebelum rumah ini dipecah masuk pencuri, beliau (ibunya) menganggap ruang tingkap sangat leceh untuk dijaga.

“Hari-hari emak saya asyik mengemas dan mengadu penat membersihkan kotoran debu di tingkap dan kerap membasuh langsir berkali-kali dan ini mendorong saya untuk membuang tingkap rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

BAHAGIAN luar rumah milik Mohammad Hanif. FOTO Bernama
BAHAGIAN luar rumah milik Mohammad Hanif. FOTO Bernama

Kos mengubah suai rumah yang berkeluasan 20 kaki panjang dan 16 kaki lebar itu yang mempunyai dua ruang tamu, dua bilik air dan lima bilik tidur termasuk pejabat mini serta sebuah dapur menelan belanja hampir RM100,000.

Beliau berkata, apabila tiada tingkap kerja hariannya menjadi lebih mudah dan beliau gembira dengan kelainan rumahnya itu.

Mohamad Hanif berkata, beliau yang tinggal bersama ibunya berusia 72 tahun sering dihujani pertanyaan oleh jiran dan orang ramai mengenai keadaan dan suasana dalaman rumah tanpa tingkap itu.

“Tidak dinafikan orang buat rumah ada tingkap nak bagi sejuk rumah, sebenarnya sama saja seperti rumah tidak bertingkap. Pada bahagian ruang tamu saya guna teknologi penyerap haba daripada bumbung manakala setiap bilik guna kipas eksoz dipasang bagi menarik keluar haba panas,” katanya.

Mohamad Hanif berkata, sebagai langkah keselamatan, beliau memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar rumahnya bagi mengesan kehadiran tetamu serta sistem penggera pada pintu hadapan dan pintu belakang.

Katanya, pada waktu siang lampu hanya dibuka untuk kegunaan tertentu saja kerana cahaya dari luar yang masuk sudah mencukupi.

Bukan itu saja, rumah unik ini juga turut memuatkan ‘rumah dalam rumah’ di mana wujud satu bilik khas sebagai rumah kucing lengkap dengan alat penghawa dingin.

Mohamad Hanif memelihara lebih 10 kucing Parsi dan berkata beliau membina rumah kucing itu kerana kucingnya pernah dicuri sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 12:11 PM