BABY Shima kini menetap di Indonesia sering ulang-alik ke Malaysia mempromosi single terbaru. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
BABY Shima kini menetap di Indonesia sering ulang-alik ke Malaysia mempromosi single terbaru. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

GELARAN Baby yang digunakan di sebalik nama Nor Ashima Ramli menampakkan Baby Shima seakan artis remaja sudah berusia 26 tahun.

Bagaimanapun, di sebalik paras rupa keanak-anakan dan penampilan lemah lembut, dia mengakui boleh berubah sikap sekiranya ditindas.

Satu insiden yang berlaku baru-baru ini membuktikan reaksi spontan penyanyi ini apabila diperlakukan sedemikian.

“Cuba tekan saya kalau nak tengok saya meletup. Orang nampak saya diam dan memang saya menghormati mereka jika mereka tak buat salah.

“Saya takkan meletup dan melenting tak tentu pasal tanpa sebab. Kalau orang tindas dan buat salah, takkan saya nak diam juga.

“Saya tak suka cari pasal dan lebih suka diam, tapi jangan pijak kepala kerana saya pasti akan meletup,” katanya sebagai amaran terhadap pihak yang memandang rendah terhadapnya.

Dia yang kini tampil dengan single terbaru berjudul Pura-Pura Bujang bersyukur kerana isu terbabit sudah senyap, sekali gus dapat menumpukan perhatian terhadap kariernya.

“Alhamdulillah, saya pun tak ingin kenang dan ulas lagi dan lebih suka fokus pada karier. Lagipun ia sudah selesai cara baik.

“Orang kata ia gimik dan saya tak boleh tutup mulut orang kerana mereka tak mengalaminya. Hanya saya tahu perkara sebenarnya. Apapun selepas ini saya lebih berhati-hati untuk beri komen terhadap mana-mana individu di laman sosial,” katanya.

Lagu Pura-Pura Bujang ciptaan Ezra Kong dan lirik Mimi ONE membawa Shima berulang-alik antara Indonesia dan Malaysia setiap masa.

“Saya kini menetap di Indonesia. Namun, sekiranya ada program untuk promosi, saya akan pulang ke Malaysia. Saya sebenarnya tak sangka sambutan terhadap lagu ini amat positif. Ia berkonsep tarian dan dangdut (dancedut) dan sesuai untuk pasaran dua negara.

“Ikutkan saya sendiri tak terkira jumlah berulang-alik antara dua negara ini. Penat memang penat, tapi saya bersyukur kerana itu rezekinya,” katanya.

Bagi memastikan kesihatannya terjaga, Shima mementingkan pengambilan makan dan minum yang teratur serta tidur mencukupi.

“Sepanjang penerbangan saya akan tidur. Kalau ada masa untuk tidur, saya pasti akan tidur. Bagaimanapun, ketika dalam pesawat ada juga permintaan daripada peminat untuk bergambar dan saya tetap melayan mereka dengan baik.

“Seronok kerana single duet saya iaitu Roadblock Hatiku bersama kumpulan Floor 88 pun masih jadi pilihan peminat di radio walaupun dah setahun dikeluarkan,” katanya.

Shima yang masih mempunyai kontrak selama dua tahun dengan syarikat rakaman Nagaswara Indonesia berkata, hatinya kini terpikat dengan genre dangdut dan dancedut.

“Saya puas menyanyikan lagu genre ini kerana agak ‘catchy’. Peminat juga nampak terhibur menikmatinya. Tapi, untuk masa akan datang tak tahu konsep apa lagi kerana saya belum terfikir mengenainya.

“Yang menariknya peminat di Indonesia sangat agresif. Apabila saya buat persembahan, mereka turut sama menari dan saya rasa dihargai. Walaupun orang luar mereka terima saya sebaiknya,” katanya.

Menurutnya, dia gembira kerana berpeluang melakukan persembahan sambil melawat tempat orang.

“Banyak perkara baru saya belajar di sana. Jika ditanya populariti saya di mata peminat sama ada di Indonesia mahupun Malaysia, saya tiada jawapan dan menyerahkan kepada mereka untuk menjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 5:15 AM