BANYAK tempuhi kesusahan dan tak mudah putus asa.
BANYAK tempuhi kesusahan dan tak mudah putus asa.
Ridzuan Abdul Rahman


BUKAN sengaja membawa diri berkelana ke negara orang, sebaliknya rezeki Baby Shima lebih menyerlah di negara jiran, Indonesia.

Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 28, selesa mencari rezeki di Indonesia sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun dia kini akur terpaksa berehat panjang di Malaysia akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

"Kes Covid-19 di Indonesia juga teruk dan ketika itu pihak kedutaan kita menyuruh rakyat Malaysia pulang. Kami diarahkan balik sehingga keadaan kembali reda. Nak tak nak kenalah balik juga.

Tambah pula pihak kedutaan memberitahu kalau sekiranya dijangkiti, keutamaan diberikan kepada warga Indonesia untuk rawatan berbanding rakyat asing.

Waktu itu juga semua penerbangan ke Kuala Lumpur dibatalkan.

Situasinya amat sukar, namun ada pesawat yang disediakan untuk bawa kami pulang ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, pada waktu sama juga hampir 30 konsert yang sepatutnya dijayakan di Indonesia terpaksa dibatalkan.

"Demi keselamatan saya pun balik. Tapi apabila lama sangat di rumah tanpa buat apa-apa memang buat saya risau. Dah lama tak buat persembahan rasa rindu pula. Apatah pula sebagai penyanyi pendapatan saya memang bergantung kepada konsert dan persembahan. Apapun syukur saya sudah bersedia buat simpanan untuk kegunaan semasa kecemasan. Namun, lama-kelamaan simpanan akan habis juga," katanya.

Penyanyi lagu Pura-Pura Bujang ini turut mempunyai saluran YouTube rasmi Baby Shima yang diwujudkan sejak dua tahun lalu dan kini memiliki lebih 1 juta pelanggan hingga namanya tersenarai dalam Gold Creator Award YouTube Malaysia. Secara tidak langsung dia mempunyai pendapatan dari medium ini.

"Alhamdulillah, ada juga pendapatan dari situ selain sebagai duta produk. Untuk itu, saya kena konsisten muat naik video dua atau tiga kali seminggu. Ia perlu agar peminat sentiasa tengok kandungan yang disiarkan. Saya mempunyai pasukan produksi sendiri untuk hasilkan video dalam kalangan orang muda kerana idea mereka sangat segar," katanya.

Shima secara jujurnya mengakui pengikut YouTubenya lebih ramai dari Indonesia berbanding peminat tempatan.

TAMPIL berduet dengan Cat Farish dengan lagu You Dan Ysukuku.
TAMPIL berduet dengan Cat Farish dengan lagu You Dan Ysukuku.

"Masyarakat kita tak habis-habis asyik kerja nak kecam dan saya lebih senang ambil pendekatan buat tak peduli. Kalau sekiranya mereka dah terlebih sangat, saya buat laporan polis seperti sebelum ini. Dari situ nampak mereka takut.

"Sepatutnya September lalu saya perlu kembali ke Indonesia tapi apakan daya situasi mereka juga sama macam kita," katanya yang memberitahu ada program TV di sana yang menantinya.

Mengulas perkembangan terbaru kariernya, Shima berkata, dia baru sahaja menyambung kontrak bersama syarikat rakaman Nagaswara Indonesia.

"Sebelum ini kontrak saya selama tiga tahun dan sekarang disambung lagi lima tahun sehingga 2025. Saya bukan merajuk dengan peminat kita tapi bersyukur rezeki ada di sana. Saya gembira tengok peminat di sana boleh terima orang luar. Memang susah nak masuk sana. Apabila berjaya masuk, ia peluang yang besar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shima yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman dan hanya terbabit dengan projek khas bersama MVM kini tampil berduet dengan Cat Farish dengan lagu You Dan Ysukuku.

"Saya bebas bekerjasama dengan mana-mana artis dan anggap ia rezeki. Ikutkan macam-macam ujian sudah ditempuhi untuk saya berada pada tahap sekarang. Orang tengok macam senang nak jadi artis tapi saya dah banyak tempuhi kesusahan dan tak mudah putus asa. Terpulanglah orang nak cakap apa pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 6:00 AM