TANGKAP layar status rakan Amsyar Naaif yang kemudian dimuatnaik dalam Instagram sehingga tular.
TANGKAP layar status rakan Amsyar Naaif yang kemudian dimuatnaik dalam Instagram sehingga tular.
Alias Abd Rani


“YA, memang betul saya menggunakan iPhone 11 Pro, tapi itu semua hasil titik peluh sendiri. Saya beli pakai duit kerja sambil belajar sampai sekarang.

“Siapa tidak bangga? Saya meraih pendapatan sampingan hanya menggunakan platform Instagram sendiri, malah banyak kali saya melakukan kerja sebagai jurufoto,” kata Amsyar Naaif Shahmaruddin, 24.

Kenyataan ini sebagai balasan susulan dia menerima kecaman hebat daripada netizen selepas video dia memegang iPhone 11 Pro tular di Instagram.

Video dipercayai dirakam pada majlis konvokesyen baru-baru ketika dia sedang menggunakan telefon bimbit terbabit.

Pada masa sama, rakannya menggunakan akaun @annazrulan memuat naik status: “Korang kalau beli iPhone 11 Pro jangan buat perangai macam ni tau” yang bermaksud sebaliknya, namun ada pihak salah anggap dan tangkap layar lalu dimuat naik dalam Instagram.

Ia antara lain menuduh Amsyar menggunakan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membeli telefon terbabit dengan status: “Beginilah generasi mediaso-sial beli smartphone semata nak menunjuk. Dah la beli guna PTPTN, lepas grad membebel merempan takde keja kat mediaso-sial masing2.”

Amsyar berkata, pemilik akaun terbabit sebenarnya silap kerana dia bukan meminjam wang PTPTN, sebaliknya salah seorang penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Sepanjang menuntut jurusan Keselamatan Maklumat di sebuah universiti sejak 2017, saya banyak mendapat job (kerja) termasuk dengan Huawei, Honor dan sebagainya.

“Sebaik tamat pengajian dan konvokesyen baru-baru ini, saya diserap masuk ke syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur,” katanya.

Berkenaan tuduhan itu, Amsyar sekadar ketawa dan tidak mengambil peduli fitnah dilemparkan kerana dia tahu dari mana duit diperoleh untuk membeli telefon terbabit.

“Tidak perlu layan semua itu, biarlah mereka mahu buat apa sekali pun,” katanya.

Tiga varian iPhone dilancarkan awal bulan lalu dan harga bagi iPhone 11 bermula RM3,399, iPhone 11 Pro RM4,899 manakala iPhone 11 Pro Max pada harga RM5,299.

Pengguna boleh melakukan pilihan storan 64GB, 256GB dan 512GB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:54 PM