Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Mahu memiliki telefon pintar iPhone X pada harga murah membawa malang buat seorang pelajar lelaki apabila dia kerugian RM15,300 akibat ditipu sindiket pembelian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 17 tahun dikatakan tertarik dengan satu iklan kononnya menjual peranti murah dari Singapura dalam Instagram.

"Mangsa berminat untuk membeli sebuah model iPhone X baharu pada harga RM300 seperti yang ditawarkan.

"Dia kemudian diminta membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan dan dijanjikan akan menerima iPhone berkenaan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, mangsa dihubungi oleh dua individu mendakwa dari pihak jaminan produk Apple dan kastam Singapura dan meminta bayaran berjumlah RM15,000 daripadanya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, individu itu berjanji bahawa wang mangsa akan dipulangkan apabila dia menerima kiriman iPhone terbabit.

"Mangsa yang percaya dengan kata-kata itu meminjam RM15,000 daripada bapanya dan membuat bayaran itu secara berperingkat.

"Namun, dia berterusan diminta membuat bayaran sehingga RM30,000 sebelum telefon pintar itu dikirimkan kepadanya lalu menyedari dirinya sudah masuk dalam perangkap penipuan," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kerugian keseluruhan RM15,300 kemudian membuat laporan polis, semalam.

Katanya, an siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 1:45 PM