LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


BUDAK lelaki tiga tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, hari ini.

Difahamkan, mangsa, Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz meninggal dunia akibat lemas di dalam lubang kumbahan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.16 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan.

“Anggota kemudiannya menggunakan pam untuk mengeluarkan air kumbahan berkenaan bagi memudahkan mayat mangsa dikeluarkan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan jam 9.36 pagi,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 11:19 AM