KEADAAN kemalangan yang mengorbankan suami isteri, manakala tiga anak mereka cedera. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kemalangan yang mengorbankan suami isteri, manakala tiga anak mereka cedera. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SUAMI isteri maut selepas Perodua Myvi dinaiki merempuh lori membawa muatan baja di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban, dekat Keratong, di Rompin awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala sementara isterinya Surawati Mohd, 33, meninggal dunia beberapa jam selepas mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga anak pasangan itu yang berusia dua hingga enam tahun cedera.

“Siasatan awal kita mendapati kereta dipandu Muhammad Noor Idham dari arah Kuantan menuju ke Seremban dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

“Pemandu lori Md Kamarudin Ibrahim, 43, turut cedera dan keterangannya sudah diambil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, anak pasangan suami isteri itu dikenali Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfan Rakeen, 2, menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Muadzam Shah.

Katanya, mayat dibawa ke hospital sama bagi urusan bedah siasat.

Kamarulzaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 12:41 PM