KHAIRUL Azlam (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Zainab. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
KHAIRUL Azlam (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Zainab. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: "Sampai sekarang semua cucu masih mengingati arwah ibu ayahnya dan bertanyakan mengenai mereka," kata Zainab Mamat, 63, dari  Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Zainab nenek kepada Aryan Rizqy Muhammad Noor Idham , 8; Areef Radzin, 6, dan Arffan Radizn, tiga tahun.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan tiga kanak-kanak itu menjadi anak yatim piatu sekelip mata selepas bapanya, Muhammad Noor Idham Ramli dan isterinya, Surawati Mohd terbabit dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan/Seremban dekat Muadzam Shah, Rompin pada 3 Oktober 2019.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Surawati sempat mencampakkan anak bongsunya ke belakang untuk menyelamatkan anaknya itu sebelum kereta mereka bertembung dengan lori baja.

Difahamkan lima beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Pulau Duyong ke rumah orang tua suaminya di Felda Lui, Jempol, Negeri Sembilan.

Katanya, semua cucunya itu tinggal bersamanya sejak dua tahun lalu dan segala keperluan mereka diuruskan sendiri.

"Walaupun sudah dua tahun kejadian itu berlalu tetapi semua cucu masih tidak boleh melupakan ibu bapanya yang nahas dalam kemalangan itu.

"Tidak pernah sehari, cucu tidak bertanyakan tentang ibu dan ayah mereka terutama Aryan Rizqy.

"Aryan Rizqy selalu mengikuti ibunya menjalankan aktiviti riadah mendaki bukit oleh itu Aryan selalu memberitahu saya mengenai hasratnya untuk mendaki bukit," katanya ketika ditemui pada program Kunjung Kasih dan Penyerahan Sumbangan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT).

Menurutnya, cucunya menerima bantuan bulanan Perkeso sebanyak RM950 dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

"Bantuan bulanan daripada kedua-dua agensi itu sangat membantu meringankan beban selain dapat menyediakan keperluan harian tiga cucu.

"Semua cucu ialah amanah Allah kepada saya dan dua anak, Shasira Mohd, 26, dan Shariena Mohd, 23, untuk menjaga serta mendidiknya," katanya.

Menurutnya, dia akan memastikan semua cucunya itu mendapat pendidikan secukupnya untuk berjaya di masa akan datang.

"Saya selalu membawa cucu melawat pusara ibu bapanya untuk mengubati rindu terhadap kedua ibu bapanya," katanya.

Pada program itu Presiden KAWAT Khairul Azlam Mohamad menyerahkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur kepada Zainab dan tiga cucunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 5:18 PM