HELIKOPTER bomba turut digunakan bagi membantu memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman.
HELIKOPTER bomba turut digunakan bagi membantu memadam kebakaran belukar di Kampung STC, Sri Aman.
Mohd Roji Kawi


SRI AMAN: Struktur tanah gambut yang longgar serta bercampur dengan daun kering dan kayu buruk menyebabkan belukar di Kampung STC di sini, mudah terbakar dan merebak dengan cepat.

Malah api sukar dipadam kerana bara di dalam tanah gambut sukar dikesan, sekali gus menjadi cabaran utama pasukan yang terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

Residen Bahagian Sri Aman, Indit Bangai berkata, pelbagai aset digerakkan termasuk menggunakan jengkaut namun kebakaran di kawasan itu boleh tercetus semula walaupun api dipadamkan.

Justeru katanya, anggota daripada pelbagai agensi kini dikerah melakukan operasi memadam dengan tumpuan diberikan di Kampung STC.

ANGGOTA APM menarik hos meredah belukar.
ANGGOTA APM menarik hos meredah belukar.

“Perhatian kami kini ditumpukan di sini kerana berdekatan dengan penempatan penduduk manakala di Jalan Kejatau dan Klauh sudah terkawal.

“Sukar bagi saya untuk mengatakan kebakaran ini boleh dipadam sepenuhnya dalam sehari dua ini kerana faktor tanah gambut memang sukar dijangka,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba di Kampung STC di sini, semalam.

Sementara itu tinjauan di lokasi mendapati seramai 36 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tentera Darat Malaysia (ATM) bertungkus-lumus memadam bara api di dalam tanah gambut itu.

JARAK penglihatan yang terhad akibat asap kebakaran.
JARAK penglihatan yang terhad akibat asap kebakaran.

Wartawan yang memasuki kawasan operasi menyaksikan sendiri bagaimana kebakaran tiba-tiba berlaku di luar lingkungan kawasan tanah gambut yang masih berasap.

Seorang pegawai JBPM menjelaskan keadaan itu biasa berlaku apabila ada daun terbakar diterbangkan angin dan jatuh di tempat lain dan api menyambar daun kering.

Keadaan itu memaksa anggota meredah belukar sekunder yang tebal untuk menarik hos ke kawasan itu dengan segera bagi mengelak api merebak ke kawasan yang lebih luas.

“Inilah cabaran yang selalu kami hadapi. Ketika kami berusaha memadam kebakaran dalam tanah gambut, api tiba-tiba marak di tempat lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 6:40 AM