Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Melaka (JBPM) mengambil masa kira-kira 24 jam bagi mengawal kebakaran belukar. FOTO BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Melaka (JBPM) mengambil masa kira-kira 24 jam bagi mengawal kebakaran belukar. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Melaka (JBPM) mengambil masa kira-kira 24 jam bagi mengawal kebakaran belukar dan ladang kelapa sawit membabitkan kawasan seluas 16 hektar di Kampung Bukit Durian di sini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, pemantauan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam lagi bagi memastikan api berjaya dipadam sepenuhnya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 4.46 petang semalam, sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 13 minit kemudian.

"Ketika sampai di tempat kejadian hampir 15 peratus kawasan di situ terbakar membabitkan kebakaran dalam tanah gambut.

"Keadaan cuaca kering dan panas menyebabkan api merebak dengan cepat selain pihak bomba turut mengalami kesukaran mendapatkan punca air bagi memadam kebakaran," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Muhammad Izwan berkata, bomba menggunakan pam angkut bagi menyedut air sungai berhampiran selain bantuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka untuk mendalamkan tali air bagi mendapatkan bekalan air secukupnya.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan 35 anggota termasuk enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, BBP Jasin, BBP Bukit Katil dan BBP Ayer Keroh dengan kekuatan tiga jentera dan satu tangki air serta agensi lain seperti polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Situasi di sini memang tidak nampak api tetapi ia terbakar di dalam tanah jadi kita gunakan kaedah 'direct attack' untuk mengawal kebakaran terbabit.

"Setakat ini, kita berjaya mengawal 35 peratus daripada kawasan keseluruhan daripada merebak ke kawasan lain yang berhampiran," katanya.

Menurut beliau, pasukan bertugas di kawasan itu juga masih ditempatkan di empat 'checkpoint' utama di lokasi itu untuk memantau dan mengawal keadaan, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

#kw xnstp, bomba, kebakaran, belukar, tanah gambut, Bukit Durian, Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 8:39 PM