DR Abdul Razak (kiri) melakukan kunjungan hormat kepada Pengarah Wilayah Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina (NCMF), Yusoph M Abbas Junior  di Cebu, Filipina
DR Abdul Razak (kiri) melakukan kunjungan hormat kepada Pengarah Wilayah Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina (NCMF), Yusoph M Abbas Junior di Cebu, Filipina
Ekhwan Haque Fazlul Haque


CEBU (FILIPINA): Merancakkan ekonomi dalam kalangan masyarakat Islam di Cebu di sini, menjadi antara fokus utama Briged Bakti Malaysia (BBM) memudahkan golongan minoriti itu mendapatkan produk halal untuk kegunaan harian.

Presiden BBM, Datuk Dr Abdul Razak Kechik berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa sumber ekonomi termasuk pertanian, penternakan dan perniagaan halal untuk memudahkan masyarakat Muslim mendapatkan bekalan.

Menurutnya, selain menerapkan pendidikan mengenai Islam secara menyeluruh, golongan Muslim juga disarankan menambah pendapatan menerusi pelbagai cabang ekonomi yang secara tidak langsung dapat mengembangkan Islam.

“Kini, BBM ada menyalurkan bantuan secara bulanan hasil derma dan infaq rakyat negara ini untuk operasi lapan pusat pembelajaran Islam di beberapa daerah antaranya Daanbantayan, Pulau Bantayan, Bandar Bogo, Bandar Toledo, Tuburan dan Malamban.

“Bagi jangka masa panjang, BBM mahu memberi fokus merancakkan ekonomi kerana golongan Muslim sukar mendapatkan bekalan makanan dan bahan mentah halal kerana kekurangan penjual.

DR Abdul Razak memberi penerangan mengenai Islam kepada komuniti Muslim di Pusat Pembelajaran Islam Daanbantayan sempena Program Jom Balik Islam.
DR Abdul Razak memberi penerangan mengenai Islam kepada komuniti Muslim di Pusat Pembelajaran Islam Daanbantayan sempena Program Jom Balik Islam.

“Jika komuniti Islam diberikan bantuan dan peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi, ia sekali gus meningkatkan pendapatan mereka selain memudahkan makanan serta bahan mentah halal diperoleh,” katanya ketika ditemui dalam Program Jom Balik Islam di sini.

Beberapa projek ekonomi sudah dikenal pasti antaranya ternakan lembu, ikan dalam sangkar, penjualan ayam dan daging halal serta perusahaan makanan.

Dalam pada itu, komuniti Islam di Cebu terus disantuni untuk membolehkan Islam dikembangkan di kawasan berkenaan dengan pelbagai program dakwah dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, setiap minggu tenaga pengajar akan memberikan ceramah dan kelas agama kepada dai’e di beberapa pusat pembelajaran untuk memantapkan penguasaan ilmu mereka yang rata-ratanya baru mendalami Islam.

“Dai’e ini akan berperanan untuk menyebarkan Islam khususnya di kawasan pedalaman dan mereka ini perlu dilengkapkan dengan ilmu Islam agar bersedia menyantuni golongan bukan Islam.

“Setakat ini respons diterima sangat baik dan BBM memberi fokus mendekati mereka menerusi ajaran sebenar, sekali gus mengikis persepsi negatif terhadap Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:40 AM