KEMALANGAN yang mengakibatkan tiga wanita maut, termasuk Faridah (gambar kecil) yang sarat mengandung 35 minggu. FOTO Ravale Savarinathan
KEMALANGAN yang mengakibatkan tiga wanita maut, termasuk Faridah (gambar kecil) yang sarat mengandung 35 minggu. FOTO Ravale Savarinathan
Ravale Savarinathan


WANITA sarat mengandung yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap - Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat di Teluk Intan, pagi hari ini hanya menunggu hari sahaja untuk melahirkan anak kelima.

Ketika kejadian Allahyarham Faridah Md Nayen, 38, dalam perjalanan ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan bulanan kandungannya dengan menumpang kenderaan jirannya yang turut maut dalam kemalangan itu.

Suaminya, Ahmad Ismail, 45, berkata, dia menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 11.30 pagi tadi daripada sepupunya yang memaklumkan hanya kemalangan kecil.

“Sebaik terima panggilan saya bergegas ke Hospital Teluk Intan, namun semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan malam ini.

Menurutnya, sebelum kejadian isterinya bersama tiga yang lain yang juga jiran sebelah rumah sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Tanjung Keramat menuju ke Klinik Kesihatan Desa Tanjung Keramat terletak kira-kira 1 kilometer.

“Saya reda dan terima kehendak tuhan ini... kami menunggu kelahiran anak kelima namun tuhan lebih menyayangi mereka dan anak itu turut meninggal dunia dalam perut kandungan,” katanya sayu.

AHMAD (kiri) dan Mohd Firdaus (kanan). FOTO Ravale Savarinathan
AHMAD (kiri) dan Mohd Firdaus (kanan). FOTO Ravale Savarinathan

Sementara itu, anak sulungnya, Mohd Firdaus Ahmad, 15, ternyata tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui susulan kehilangan insan tersayang.

“Ibu adalah seorang yang sangat penyayang, namun sentiasa tegas dalam pelajaran.

“Hasrat ibu adalah untuk melihat saya berjaya dalam pelajaran dan arwah sering menasihatkan saya supaya rajin belajar serta mahu saya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak lama lagi.

“Saya ingin memenuhi hasrat arwah yang mahu saya memperoleh keputusan cemerlang itu,” katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, kemalangan mengakibatkan tiga wanita maut iaitu suri rumah, Farah Ain Salim, 19; pesara Fuziyah Sarjuni, 62 dan Faridah Md Nayen, 38 yang sarat mengandung 35 minggu.

Kemalangan membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda Ford Ranger, Suzuki Swift dan Proton Saga itu turut mengakibatkan anak kepada Farah Ain iaitu Nur Afrina Miqaila berusia lapan bulan cedera dan seorang lelaki berusia 43 tahun luka di hidung.

Berita berkaitan

Wanita mengandung antara 3 maut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 10:16 PM