SITI tidak pernah lupa bawa nama negara setiap kali sertai pertandingan hiburan.
SITI tidak pernah lupa bawa nama negara setiap kali sertai pertandingan hiburan.
Norhayati Nordin


JIKA diukur daripada pengalaman dan kejayaan, sudah terlalu banyak pencapaian membanggakan negara diraih penghibur tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 40.

Memulakan karier seni pada usia 16 tahun selepas dinobat sebagai juara Bintang HMI pada 1995, kini selepas lebih dua dekad Siti kekal bertahan tanpa tergugat dengan kehadiran selebriti baharu dan popular.

Ternyata, keperibadian Siti yang masih merendah diri seperti dulu dan senang didekati masyarakat membuatkan anak jati Pahang ini tetap menjadi kesayangan ramai.

Menariknya mengenai wanita hebat ini, sudah pasti semangat cintakan negaranya yang utuh. Malah, hingga ke saat ini Siti tidak melupakan kenangan indahnya pernah menyertai perarakan Hari Kebangsaan ketika kanak-kanak.

Mengulas erti kemerdekaan, Siti berkata, ia makna begitu besar baginya. Katanya, dia sangat bangga menjadi rakyat Malaysia yang makmur dan aman ini.

“Selain kekal cintakan negara, erti kemerdekaan sebenar bagi saya ialah berusaha ‘memerdekakan’ diri dalam banyak perkara. Jauhkan diri daripada anasir luar yang cuba merosakkan pemikiran.

“Dalam soal ini, sebagai rakyat Malaysia kita semua seharusnya selalu positif dan jangan mudah bersikap negatif. Untuk saya sendiri, masih banyak perlu diperbaiki.

“Ada banyak kekurangan yang nak saya atasi pada diri ini walaupun ia nampak seperti perkara mudah. Bagaimanapun, saya akan terus cuba perbaiki,” katanya.

SITI bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
SITI bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Mengulas slogan Hari Kebangsaan ke-62 iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, Siti berkata, tema dipilih itu membawa maksud sangat luas.

“Sebagai warganegara, wajar untuk kita semua ‘Sayangi Malaysia’, rasakan Malaysia ini tidak ada tolok bandingnya dengan negara lain. Keamanan amat terjaga walau pun berbilang kaum, agama dan budaya.

“Negara aman ini tidak ada pergaduhan hingga pertumpahan darah kerana rakyatnya masih bersatu-padu dan menghormati di antara satu sama lain,” katanya.

Ditanya perkara yang menyuntik semangat patriotiknya, Siti berkata, sudah tentu kebanyakannya membabitkan pencapaian dalam karier seni diceburi.

“Saya sebenarnya tidak pernah lupa setiap kali membawa nama Malaysia dalam pertandingan hiburan disertai, diri ini pasti sangat bangga dapat mewakili negara.

“Ia saya lihat sebagai sumbangan kecil kepada negara. Jadi, saya perlu sentiasa yakin dapat membuat yang terbaik demi negara ini, Malaysia boleh!,” katanya.

Berkongsi pandangannya mengenai provokasi yang kini berlaku dalam negara, Siti berkata, ia umpama hubungan suami isteri dalam sebuah rumah tangga.

Katanya, kehidupan rumah tangga, ada pasang dan surutnya. Inikan pula pentadbiran dalam sesebuah negara. Masih perlukan masa untuk suai kenal dan ia proses normal.

SEMAKIN CINTAKAN BASIKAL, TAK SERIK JATUH

Sejak jatuh cinta dengan aktiviti berbasikal beberapa tahun lalu, Siti kini dilihat sentiasa menyertai aktiviti berbasikal. Walaupun pernah mengalami kemalangan kecil dan lututnya cedera, Siti tidak serik. Katanya, kemalangan dan luka itu adat dalam aktiviti berbasikal disertai.

“Saya minat berbasikal kerana mendapat sokongan pada daripada suami dan keluarga. Kami aktif berbasikal kerana mahu mengamalkan gaya hidup sihat. Dengan berbasikal, kami dapat beriadah bersama rakan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Sehubungan itu, sempena program Kayuhan Wanita 2019 Galak Hidup Sihat pada 26 Oktober depan di Putrajaya, Siti mengharapkan pembabitan lebih ramai wanita untuk menyertainya.

Menyasarkan kira-kira 3,000 penyertaan untuk program ini, wanita berminat dicabar menghabiskan kayuhan mereka sejauh 20 kilometer.

SITI mengiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada majlis pelancaran progrom Kayuhan Wanita 2019 Galak Hidup Sihat di Putrajaya, Rabu lalu.
SITI mengiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada majlis pelancaran progrom Kayuhan Wanita 2019 Galak Hidup Sihat di Putrajaya, Rabu lalu.

Siti berkata, kepuasan baginya ketika berkayuh adalah dapat sampai ke garisan penamat. Sebab itu, walaupun cedera, semangat untuk ke penamat tak pernah luntur.

“Cabaran utama bagi saya ketika berbasikal adalah mendaki bukit. Ia perkara yang tidak mudah, namun apabila dapat melakukannya ia kepuasan paling bermakna buat saya,” katanya

Siti berkata, Putrajaya juga dilihat lokasi sangat sesuai untuk berbasikal kerana dia juga selalu membuat latihan di Putrajaya walaupun jauh dari kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:31 AM