AHMAD Rafiq Darwisy maut dilanggar kereta ketika melintas jalan. FOTO Ihsan Pembaca
AHMAD Rafiq Darwisy maut dilanggar kereta ketika melintas jalan. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


“SAYA tidak menyangka tubuh yang terkujur di atas jalan raya itu adalah anak saya sendiri.

“Selepas adik ipar menghubungi dan memaklumkan arwah dilanggar ketika melintas jalan, saya berlari dan membuka baju untuk menutup jenazahnya,” kata Ahmadrunizam Awang, 44.

Ahmadrunizam adalah bapa kepada pelajar tingkatan satu, Ahmad Rafiq Darwisy, 13, yang maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 38, Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Assam Jawa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, anak keempat daripada enam beradik itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mengimbas mengenai kejadian itu, Ahmadrunizam berkata, dia dan isterinya Saidatul Amirah Hasan, 44, dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan kerja di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Dia yang bekerja sebagai mekanik berkata, mereka berdua melalui kawasan kemalangan terbabit, namun tidak mengesyaki kejadian buruk sehinggalah berada di pondok bas berhampiran dengan rumahnya.

“Hati terdetik di mana anak saya yang kebiasaannya menunggu di situ, dan tidak lama selepas itu saya terima panggilan yang mengatakan arwah dilanggar.

“Tak dapat digambarkan perasaan sebab saya terus patah balik dan pergi ke lokasi kejadian,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Tuntong, hari ini.

Ahmadrunizam berkata, arwah disifatkan sebagai anak yang baik dan tidak pernah menyakiti hati mereka berdua.

“Arwah juga seorang yang ringan tulang selain periang dan baik kepada adik beradiknya.

“Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT dan berdoa agar arwah diberikan kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Ahmad Rafiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Api-Api, Kuala Selangor, 5.30 petang semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, mangsa dilanggar Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Klang menuju ke Teluk Intan.

Md Asri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

Maut dilanggar ketika lintas jalan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 2:20 PM