KEADAAN kenderaan dinaiki lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Lebuh AMJ. FOTO Khairunisah Lokman
KEADAAN kenderaan dinaiki lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Lebuh AMJ. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi


LIMA sekeluarga adalah antara enam yang maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Jelatang di Alor Gajah, malam tadi.

Mereka itu dipercayai menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum terbabit dalam kejadian pada 9.40 malam dan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah pacuan empat roda masing- masing Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max serta sebuah treler tanpa muatan.

Menurutnya, lima sekeluarga berkenaan menaiki Isuzu D-MAX, manakala Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki dan bersama anak perempuannya.

"Sebelum kejadian, treler dan Isuzu D-Max itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Simpang Ampat, manakala Mitsubishi Triton pula dari arah bertentangan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda lima sekeluarga itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa yang tersepit dibawa keluar dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan kesemuanya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

Katanya, pemandu Mitsubishi Triton meninggal dunia dan anaknya yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya.

Berita berkaitan

6 maut, 1 parah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 1:08 AM