BOT membawa tiga mangsa ke Pulau Tenggol sebelum mereka dilaporkan hilang. (Gambar kecil, dari kiri) Muhammad Firdaus, Fauzi dan Mohamad Hafiz yang dilaporkan hilang. FOTO Rosli Ilham.
BOT membawa tiga mangsa ke Pulau Tenggol sebelum mereka dilaporkan hilang. (Gambar kecil, dari kiri) Muhammad Firdaus, Fauzi dan Mohamad Hafiz yang dilaporkan hilang. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


DUA pemandu bot dan seorang pekerja resort di Pulau Tenggol dikhuatiri hilang di perairan Kuala Dungun, Dungun, hari ini.

Difahamkan, tiga individu terbabit, Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, keluar dari jeti di Kampung Rajawali Pulau Serai, pada 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, mereka yang sepatutnya tiba di Pulau Tenggol sejam selepas melakukan perjalanan dengan bot itu gagal dikesan sebelum pihak pengurusan resort terbabit membuat laporan polis pada 4 petang.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan tiga mangsa terbabit menaiki bot gentian kaca yang membawa barangan makanan untuk dihantar ke pulau berkenaan.

“Pihak pengurusan resort sudah beberapa kali cuba menghubungi semua mangsa, tetapi gagal.

“Dua daripada mangsa iaitu Fauzi Mohamad dan Mohamad Hafiz berasal dari Kampung Baru Kuala Abang, Dungun manakala Muhammad Firdaus berasal dari Kampung Parit Ibrahim Masjid, Simpang Renggam, Johor,” katanya.

Menurutnya, pihak polis sudah meminta kerjasama daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan mencari mangsa.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat sudah membuka bilik gerakan bagi mencari mangsa.

“Sepanjang hari ini keadaan laut dilaporkan bergelora dengan ombak kuat disusuli angin kencang.

“Kami masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian sama ada bot dinaiki mangsa karam dipukul ombak atau mengalami kerosakan enjin dan hanyut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 10:24 PM