Laporan Hafidzul Hilmi Mohd NoorSiti Nor Hidayatidayu RazaliMary Victoria Dass dan Faliq Lajim dan Mohd Khidir Zakaria.


KETIBAAN 1 Syawal pada Rabu ini memberi pengertian berbeza buat enam keluarga yang kehilangan insan tersayang ketika menjalankan tugas mereka.

Dalam kejadian pada 3 Oktober tahun lalu, enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) maut ketika operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki yang lemas di lombong tinggal Taman Putra Perdana, Puchong.

Mereka ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

Manakala, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, pula dari BBP Shah Alam.

NORSHAMIZA bersama Adnan menyambut Aidilfitri pada
NORSHAMIZA bersama Adnan menyambut Aidilfitri pada

Syawal terasa kosong

“KETIBAAN 1 Syawal ini jauh berbeza dengan tahun sebelum ini. Semuanya terasa kosong dan saya juga tidak tahu sama ada saya kuat atau tidak untuk memasak juadah terutama menu kegemaran arwah, ayam masak merah.

“Anak-anak juga sangat terkesan terutama anak sulung. Dia selalu bercerita mengenai arwah. Walaupun perit saya perlu kuat demi anak-anak,” kata Norshamiza Salleh, 32, isteri kepada Allahyarham Adnan Othman.

Allahyarham Adnan meninggalkan dua anak Nur Aisyah Damia, 5, dan Nur Aliyah Maisarah, 3.

Menurut Norshamiza, Nur Aisyah sering bertanya mengenai bapanya.

“Kalau kami ke kedai, dia mesti beritahu ini kedai yang ayah selalu pergi, perkara itu sangat meruntun jiwa saya.

“Dia juga sentiasa bercerita mengenai arwah ayahnya. Dia amat rapat dengan bapanya dan sangat terkesan dengan tragedi itu,” katanya.

Menurut Norshamiza, dia merancang untuk menziarahi kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat, Lukut pada 1 Syawal ini.

“Saya masih ingat makanan kegemarannya iaitu sambal jawa yang dibuat ibunya, ketupat dan ayam masak merah,” katanya.

Manakala, Roonani Abdullah, 59, ibu kepada Adnan, berkata biarpun sibuk dengan tugasnya, namun arwah tidak pernah lupa untuk pulang beraya walaupun hanya sekejap.

Menurutnya, pemergian anak kedua daripada tiga beradik itu memberi kesan mendalam kepada keluarganya dan sehingga kini masih merinduinya lebih-lebih lagi mahu menyambut Aidilfitri.

Katanya, dia tidak dapat melupakan kenangan arwah menganyam ketupat pada tahun lalu.

“Arwah rajin membantu di dapur dan akan menyediakan ketupat serta lemang untuk dihidangkan pada pagi hari raya.

“Kebiasaannya pada bulan puasa, arwah akan pulang ke rumah saya untuk berpuasa bersama hampir setiap minggu. Arwah juga akan mengemas rumah dan membuat persiapan hari raya,” katanya sambil ditemani suaminya Othman Surati, 70.

WAN Kamilah menunjukkan foto Muhammad Hifdzul Malik  sebagai pengubat rindu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Terap.
WAN Kamilah menunjukkan foto Muhammad Hifdzul Malik sebagai pengubat rindu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Terap.

Sedih dengar lagu raya

WALAUPUN lagu raya memberi semangat untuk meraikan Aidilfitri namun berbeza buat Wan Kamilah Wan Yaacob, 54, kerana ia menimbulkan rasa sedih di hatinya.

Hatinya bertukar hiba kerana teringat anaknya Allahyarham Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 26.

“Apabila dengar lagu raya, hati jadi sedih dan hiba kerana teringat arwah anak. Bagi membuang rasa sedih ini, saya elak daripada mendengar lagu raya.

“Semua lagu raya akan mengingatkan saya kepada arwah kerana dia amat suka mendengar lagu raya.

“Hubungan kami amat rapat kerana dia adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan juga anak lelaki tunggal dalam keluarga,” katanya.

Wan Kamilah berkata, kenangan yang paling diingati apabila arwah anaknya suka membantu di dapur termasuk membungkus tapai pulut bersamanya dan neneknya.

“Dia seorang anak yang ringan tulang. Jika pulang ke kampung, dia akan mengemas halaman dan dalam rumah untuk memastikan kediaman dalam keadaan bersih.

“Selain itu, arwah anak sangat rapat dan mesra dengan saudara-mara terutama golongan kanak-kanak. Jika sepupu atau anak sepupu tahu arwah balik, mereka akan datang ke rumah ini untuk berbual-bual.

“Dia suka memberi duit kepada kanak-kanak menyebabkan ramai menyayanginya. Memang terasa kehilangannya, namun untuk menghilangkan rasa rindu itu saya sentiasa berdoa untuk anak,” katanya.

Katanya, 1 Syawal ini hanya disambut biasa kerana ahli keluarga masih terasa kehilangan satu-satunya anak lelaki.

ROSMARIA bersama tiga orang anaknya menunjukkan gambar  Izatul Akma.
ROSMARIA bersama tiga orang anaknya menunjukkan gambar Izatul Akma.

Hanya dua kali raya bersama

WALAUPUN hanya sempat meraikan pagi 1 Syawal bersama arwah suami sebanyak dua kali sepanjang lapan tahun perkahwinan, namun banyak kenangan indah dikongsi bersama.

Paling diingati Rosmaria Ab Ramli, 33, ialah suaminya yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim, 33, amat suka makan ketupat, tapai dan lemang pada Aidilfitri.

Ia menjadi menu wajib ada pada hari raya namun kini semua itu tinggal kenangan.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, walaupun suaminya jarang bercuti pada 1 Syawal namun dia sentiasa menggembirakan hatinya dan anak-anak apabila akan menghantar mereka pulang ke Kampung Budi, Laloh, di Kuala Krai.

“Disebabkan suami bertugas, jadi saya dan anak-anak akan pulang ke kampung sebelum suami menjemput kami untuk pulang semula ke rumah di Klang, Selangor.

“Suami sentiasa mengambil berat walaupun tugasnya terlalu sibuk, arwah akan memastikan persiapan raya buat saya dan anak-anak kami lengkap.

“Saya paling ingat ketika kami sibuk buat persiapan hari raya apabila akan membeli-belah bersama-sama, namun semua itu tinggal kenangan. Aidilfitri tahun ini disambut biasa sahaja,” katanya.

Menurutnya, paling terkesan kehilangan insan tersayang itu adalah tiga anaknya Nor Aina Damia, 8, Nor Irdina Jannah, 5, dan Nor Dhia Karmila, 3, yang merindui bapa mereka terutama anak bongsu yang masih menganggap ayah mereka keluar bekerja.

“Jika ditanya anak bongsu abahnya ke mana? Dia akan jawab abah pergi kerja. Memang meruntun hati, namun saya perlu kuat untuk membesarkan mereka,” katanya.

MOHD Sanizam  (kiri) bersama  Mazlan Omarbaki.
MOHD Sanizam (kiri) bersama Mazlan Omarbaki.

Hiba bersama kenang kampung

PEMERGIAN Allahyarham Mazlan Omarbaki meninggalkan banyak kenangan yang tidak boleh dilupakan termasuk detik menyambut Aidilfitri di tempat bertugas sepanjang mengenalinya.

Rakan setugasnya Mohd Sanizam Mohd Safiee, 33, berkata mereka berdua akan rasa sedih mengenangkan kampung serta keluarga yang jauh berikutan tidak pulang beraya disebabkan perlu bertugas.

Menurutnya, arwah adalah seorang yang sangat mengambil berat keadaan ibu dan keluarganya di Tawau, Sabah terutama pada musim perayaan.

“Tambahan pula, arwah sudah tidak mempunyai ayah dan menjadi anak kepada harapan keluarga. Jika tidak pulang beraya, hanya telefon dan panggilan video sebagai pengubat rindu kepada keluarganya.

“Malah, arwah juga akan buat satu video khas untuk mengambil mood raya. Dia akan kumpul gambar operasi dan selitkan lagu raya bertajuk Senandung Hari Raya Untukmu.

“Saya masih simpan video itu sehingga sekarang,” katanya.

Katanya, hari raya tahun ini memang berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu berikutan dia dan rakan setugas yang lain kehilangan sahabat-sahabat dunia akhirat itu.

“Hubungan, kami semua sudah seperti abang dan adik. Apa yang kami buat ketika ini adalah mendoakan kesemua rakan-rakan kami yang meninggal dunia ketika bertugas itu ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:00 AM
AHLI keluarga 6 syuhada bomba.
AHLI keluarga 6 syuhada bomba.