FILDATI. FOTO Arkib NSTP
FILDATI. FOTO Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


“SEBELUM menghembuskan nafas terakhirnya, riak muka dia (arwah) cukup tenang dan tidak menunjukkan sebarang kesakitan meskipun terpaksa menjalani pelbagai rawatan.

“Doktor sudah melakukan yang terbaik, namun Allah lebih menyayanginya,” kata Nor Amira Amir Shariffuddin, kakak kepada seorang pesakit kanser buah pinggang yang meninggal dunia, hari ini.

Fildati Amalina, 19, yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Alor Gajah, Melaka meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 2.30 pagi.

Allahyarham yang juga anak keempat daripada lapan beradik menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Fartini Sulidjan, 49, Nor Amira dan seorang lagi kakaknya, Siti Nabilah, 22.

Nor Amira berkata, dia sekeluarga hanya mampu reda dengan pemergian Fildati yang mesra dipanggil Kak Lin itu.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Kak Lin selain memberi sokongan moral dan bantuan wang ringgit.

“Kak Lin dimasukkan ke HKL sejak seminggu lalu dan dia dilihat amat tabah menjalani rawatan. Kami reda dengan ketentuan Ilahi bahawa dia sudah meninggalkan kami buat selamanya,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Nor Amira, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kampung Baru di Sabak Bernam dan disembahyangkan, jam 10.30 pagi.

“Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Baru,” katanya.

Turut hadir, menziarahi keluarga Allahyarham, Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) DUN Sungai Air Tawar, Hassan Jureme.

Pada 5 Mac lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan Kak Lin yang disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat, sejak Oktober 2017.

Penyakit itu memaksanya menangguhkan sementara pengajian semester kedua di UiTM.

Kanser itu juga menyebabkan buah pinggang sebelah kanannya terpaksa dibuang berikutan sel kanser berkenaan merosakkan organ itu sebelum merebak ke paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 2:53 PM