MISBUN reda kehilangan isteri tercinta. FOTO NSTP
MISBUN reda kehilangan isteri tercinta. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek menerima kehilangan isteri tercinta, Allahyarhamah Datin Latifah Sidek dengan reda dan mengakui dalam keadaan sedih.

Isteri kepada Pengarah Teknikal Skuad Remaja negara itu menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia semalam akibat Covid-19 dan masalah komplikasi buah pinggang.

Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai khas Misbun, Nor Kamal Ahmad.Jelas Kamal, arwah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 Julai dan ditidurkan pada 13 Julai kerana Covid-19.

"Allahyarhamah sebelum ini memang menghadapi masalah buah pinggang dan dimasukkan ke hospital kerana terdapat masalah. Namun beliau diarahkan pulang selepas ada jangkitan Covid-19 di wad berkenaan.

"Arwah kemudiannya memakai gelang dan diarahkan pulang namun perlu berulang alik untuk rawatan dan ubat buah pinggang.

"Datin sebelum ini menjalani rawatan hemodialisis dan kami bercadang untuk berjumpa namun dimaklumkan oleh doktor bahawa arwah sudah tiada," katanya.

Kamal memaklumkan bahawa jantung arwah terhenti sekitar jam 8.15 malam dengan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Asar.

Allahyarham dan Misbun mendirikan rumah tangga pada tahun 1987 dan dikurniakan enam cahaya mata, Misbun Syawal, Lia Murni, Misbun Ramdan, Lia Alifah, Lia Dewi Rubita, dan Misbun Awalauddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 5:36 PM