MAYAT bayi yang ditemui berdekatan kontena buangan sampah. FOTO Ihsan Polis
MAYAT bayi yang ditemui berdekatan kontena buangan sampah. FOTO Ihsan Polis
Hasbi Sidek


MAYAT bayi dipercayai baru dilahirkan ditemui di tepi Jalan Rejang 1, Setapak di Kuala Lumpur, petang hari ini.

Bayi yang dibungkus menggunakan kain itu ditemui seorang wanita ketika mengutip sisa buangan barang berdekatan kontena sampah di lokasi itu, kira-kira jam 3 petang.

Saksi, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Indra, 40-an, berkata, dia menemui bungkusan kain mengandungi mayat bayi itu seawal pagi lagi hari ini, namun membiarkannya kerana menyangka ia sampah.

“Saya keluar rumah 10 pagi dan ternampak bungkusan (mengandungi mayat bayi) itu, namun menyangka ia hanya sampah biasa atau (sisa) perut ikan. Jadi saya mengabaikannya,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Indra berkata, dia sama sekali tidak menyangka bungkusan berkenaan sebenarnya mengandungi mayat seorang bayi yang dibuang berhampiran kontena sampah di hadapan rumahnya.

“Seorang mak cik, jiran di belakang rumah datang ke kontena berkenaan untuk kutip bahan buangan sebelum ternampak mayat bayi lelaki itu.

“Sebelum itu, bungkusan kain itu tertutup rapat dan saya tidak dapat melihat kandungannya, namun kemungkinan ketika hujan petang tadi menyebabkan bungkusannya sedikit terbuka,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Mayat bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat dan bersama uri.

Indra berkata, dia masih terkejut dan sama sekali tidak bungkusan itu mengandungi bayi yang baru dilahirkan.

“Bayi itu masih bertali pusat dan ada darah pada badannya.

“Saya sedih melihat keadaannya (bayi) yang diperlakukan sebegitu. Perbuatan ini sangat kejam,” katanya.

PASUKAN keselamatan membungkus mayat bayi yang dipercayai dibuang ditepi jalan.
PASUKAN keselamatan membungkus mayat bayi yang dipercayai dibuang ditepi jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, bayi lelaki yang masih bertali pusat dan beruri berkenaan cukup sifat serta ditemui dibungkus menggunakan kain langsir.

“Siasatan awal mendapati seorang wanita ke lokasi untuk mengutip sisa pembaikan rumah sebelum ternampak bungkusan itu dan mengangkatnya lalu ternampak mayat terbabit.

“Mayat kemudian dibawa ke forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL). Mayatnya tidak mempunyai kesan luka atau cedera.

“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

NOOR Azmi
NOOR Azmi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 7:44 PM