MEKANIK sambilan (tengah) yang tergamak melakukan sumbang mahram terhadap adik perempuan kandungnya dijatuhkan hukum penjara 55 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang. FOTO Roslin Mat Tahir
MEKANIK sambilan (tengah) yang tergamak melakukan sumbang mahram terhadap adik perempuan kandungnya dijatuhkan hukum penjara 55 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


PERBUATAN terkutuk abang yang tergamak melakukan sumbang mahram terhadap adik kandungnya dua tahun lalu, diberi balasan setimpal apabila dijatuhkan hukuman penjara 55 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

Hukuman dijatuhkan Hakim Datin M Kunasundary selepas tertuduh berusia 25 tahun itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan sumbang mahram termasuk satu pertuduhan pindaan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara berasingan mulai tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Mac lalu.

Kunasundary di dalam penghakimannya berkata, tertuduh yang juga anak kedua daripada lima beradik itu diumpamakan sebagai harapkan pegar, pegar makan padi.

"Sepatutnya tertuduh membimbing, melindungi darah dagingnya, namun apa yang dilakukan hanya memuaskan nafsu dan perbuatan sebegini perlu dibendung," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa mencabul mangsa yang berusia 14 tahun pada bulan Mac 2017 lalu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan.

Bagi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang sama pada bulan Mei, Ogos 2017 serta Julai 2018 lalu dan semua perbuatan itu dilakukan di rumah di Sabak Bernam.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 45 tahun dan 13 sebatan bagi semua pertuduhan di bawah seksyen berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah memohon hukuman berat dijalankan secara berasingan atas alasan tidak dapat mengembalikan kesucian mangsa yang sudah hilang.

Katanya, tertuduh pada suatu hari akan keluar dari penjara sekiranya dipanjangkan umur, namun kesan dan trauma mangsa kekal hingga akhir hayat.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mengadu pada pengetua di sekolahnya pada 8 Mac lalu dan mengaku dirinya diperkosa oleh tertuduh sejak berusia enam tahun.

Pengetua sekolah itu kemudiannya memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seterusnya mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 2:31 PM