PERSEMBAHAN mantap Faizal menerusi ‘showcase’ akustik di acara amal, Faith4Palestin. - FOTO Hazreen MOhamad
PERSEMBAHAN mantap Faizal menerusi ‘showcase’ akustik di acara amal, Faith4Palestin. - FOTO Hazreen MOhamad
Norhayati Nordin


Kejayaan mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia menerusi lelongan barangan peribadi dan 'showcase' akustik di acara amal, Faith4Palestin baru-baru ini, cukup menggembirakan penyanyi, Faizal Tahir.

Faizal, 45, yang dapat mengumpulkan sumbangan keseluruhan RM43,806.21 hasil daripada jualan tiket 'showcase' dan barangan peribadi kesayangannya itu menyifatkan menerusi nyanyian juga boleh beramal.

Menurut penyanyi lagu Sejati dan Assalamualaikum ini, semuanya bergantung kepada cara dan kreativiti diri kita melaksanakan sesuatu program yang sesuai atas niat membantu ikhlas kerana Allah.

"Syukur Alhamdulillah, saya dikurniakan oleh Allah dengan sedikit bakat seni. Jadi, saya fikir lebih baik menerusi bakat ini saya cuba anjurkan program sesuai untuk mengajak orang ramai beramal sambil berhibur, termasuk buat lelongan juga.

"Saya gembira dalam tempoh singkat, kira-kira dua minggu perancangan dibuat bersama pasukan saya, acara amal Faith4Palestin ini dapat dilangsungkan dengan jaya. Terima kasih diucapkan pada semua.

"Niat saya ikhlas mengadakan acara ini sebagai solidariti terhadap saudara seagama kita yang kini ditindas kejam oleh regim Zionis di bumi Gaza, Palestin. Ini masa untuk kita di Malaysia ini membantu mereka dengan mengumpul dana sumbangan," katanya.

Faizal yang menyanyikan enam lagu pada 'showcase' akustik itu amat berbesar hati dengan kesanggupan penyanyi, Syamel yang menjadi 'bintang' undangan menghiburkan penonton dalam acara berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada Syamel kerana dia sendiri menghubungi saya memberitahu keinginannya untuk bersama-sama dalam acara Faith4Palestin ini dan ia buat saya amat terharu dan berbesar hati.

FAIZAL turut diiringi anaknya menyanyi bersama di pentas. - FOTO Hazreen MOhamad
FAIZAL turut diiringi anaknya menyanyi bersama di pentas. - FOTO Hazreen MOhamad

"Apatah lagi, ada beberapa penyanyi yang saya undang untuk acara ini, namun tidak dapat menyertai kerana sudah terikat dengan komitmen jadual tawaran persembahan mereka walaupun berminat untuk ikut sama. Malah, mereka ada meminta saya tukar ke tarikh lain.

"Tapi, mana boleh saya nak tukar sesuka hati. Jadi, kalau mereka tidak dapat ikut serta, itu tidak mengapa kerana tiada rezeki. Namun, kesudian Syamel sangat saya hargai atas sokongan padu yang diberikan," katanya.

Buat kali pertama membawa enam anaknya naik ke pentas menyanyi bersama, Faizal berkata, ia tidak dirancang kerana pada awalnya ketika ditanya mereka tidak mahu kerana masing-masing pemalu.

"Tapi, tak tahu tiba-tiba mereka okay saja apabila saya panggil naik ke pentas menyanyi bersama. Terus terang saya bukan bapa yang akan memaksa anak-anak untuk naik ke pentas tanpa kemahuan mereka sendiri.

"Bagaimanapun, saya gembira dengan sokongan yang diberikan anak-anak kerana saya sendiri jarang mendedahkan mereka kepada umum. Apa pun, Alhamdulillah semua yang berlaku atas izin daripada Allah," katanya.

Pada acara lelongan barangan peribadi itu, Faizal menjual kasut, dua gitar, dua trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) dimenangi, jaket kulit berserta koleksi 47 figura aksi miliknya.

Faizal berkata, dia sangat lega acara amal berkenaan berjalan lancar dan sumbangan dikumpul dapat terus diserah kepada pihak Cinta Gaza Malaysia menerusi wakilnya, Nadir Al Nuri yang sebelum itu menjadi tetamu dalam sesi perbincangan terbuka (podcast).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 6:50 AM