Nur Saliawati Salberi


TIGA maut termasuk suami isteri selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Serkam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Mohd Fairuz Haron, 30-an, dan isteri Eziani Abu Bakar, 34, yang menaiki Proton Saga serta pemandu Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, pasangan suami isteri terbabit menaiki kereta berkenaan bersama dua anak iaitu Muhammad Amirul Asyraf, 3, dan Nurul Fatiha Adelia, 7.

Menurutnya, mereka dipercayai dalam perjalanan dari Muar, Johor menghala ke Melaka, manakala Perodua Myvi berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh Proton Saga dipandu Mohd Fairuz.

“Akibat kemalangan itu pemandu Perodua Myvi serta pasangan suami isteri berkenaan tersepit di tempat duduk bahagian hadapan.

“Bagaimanapun, dua anak Mohd Fairuz dan penumpang Perodua Myvi berusia 21 tahun hanya mengalami cedera ringan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. Foto RASUL AZLI SAMAD
ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. Foto RASUL AZLI SAMAD

Arshad berkata, semua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba selepas kira-kira 40 minit kerja menyelamat dilakukan.

“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Difahamkan, kemalangan itu turut mengakibat kesesakan lalu lintas sejauh lapan kilometer.

Arshad berkata, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut selain mayat tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 2:25 AM
MAYAT mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Serkam, malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
MAYAT mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Serkam, malam tadi. Foto Ihsan Pembaca