Kemalangan yang berlaku di hadapan SJKT Merlimau, Jasin. FOTO ihsan polis
Kemalangan yang berlaku di hadapan SJKT Merlimau, Jasin. FOTO ihsan polis
Nur Saliawati Salberi


MURID lelaki parah manakala bapa, kakak serta adik perempuannya cedera ringan selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Merlimau, Jasin, pagi tadi.

Kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, mengakibatkan mangsa yang berusia lapan tahun mengalami pendarahan di kepala dan kini dirawat di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 51 tahun itu mahu menghantar tiga anaknya masing-masing berusia tujuh, lapan dan 12 tahun ke sekolah.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian motosikal jenis Yamaha yang dinaiki empat beranak itu dirempuh sebuah Perodua Kancil.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun yang dalam perjalanan dari arah Merlimau ke Jasin terlanggar motosikal mangsa yang berhenti di tengah jalan.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa kemudian terseret ke hadapan dan terlanggar dua kereta masing-masing Honda City dan Proton Saga BLM yang datang dari arah Jasin," katanya.

Arshad berkata, akibat kemalangan itu penunggang motosikal mengalami luka di perut, tangan dan peha kanan manakala dua anak perempuannya luka di badan.

"Semua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Keterangan semua pemandu kereta sudah diambil ketika mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin untuk membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 8:24 PM