SITI Elizad bersama suami kini menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah sejak Selasa lalu.
SITI Elizad bersama suami kini menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah sejak Selasa lalu.
Ramlah Zainal


“SAYA berdoa semoga dikurniakan anak soleh, sekali gus melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangga.

“Selain itu, saya meraikan ulang tahun keempat perkahwinan kami di Tanah Suci, esok iaitu tanggal 11 Januari dan semoga rumah tangga kami bahagia hingga ke jannah ,” kata pelakon popular Siti Elizad ketika mengulas pemergiannya bersama suami ke Tanah Suci Makkah sejak Selasa lalu.

Menurut pelakon yang menempa nama menerusi drama Teman Lelaki Upahan itu, ia kali kedua dia dan suami menunaikan ibadah umrah di Makkah.

“Selain doa untuk mendapat anak, saya berdoa semoga dipermudahkan segala urusan dan diperluaskan pintu rezeki supaya dapat membantu golongan memerlukan.

“Saya dan suami akan menunaikan ibadah umrah selama dua minggu, sekali gus menyambut ulang tahun perkahwinan kami,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai perancangan umrah, kata Elizad, dia memang sudah berniat untuk menunaikan ibadah itu bersama suami pada hujung tahun.

“Saya berdoa semoga dikurniakan kesihatan baik dan jika ada rezeki memang mahu sering ke Tanah Suci untuk buat ibadah.

“Setiap kali buat ibadah umrah perasaan seronok itu tiada di tempat lain.

“Saya berasa sangat tenang dan tidak memikirkan perkara lain selain ibadah bersama suami di sini,” katanya.

Elizad, 34, berkahwin dengan suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 46, duda dua anak pada 11 Januari 2015.

Namun, perkahwinan mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, menyentuh karier seni pula, kata Elizad, dia baru selesai penggambaran beberapa projek drama seperti Cinta Tanpa Henti, Kipas Belum Mati dan Sehelai Selendang Putih.

“Saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri 30 episod untuk Ramadan terbitan Global Station,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:54 PM