SYAFIQ kian menyerlah selepas menjadi naib juara program realiti Big Stage musim pertama.
SYAFIQ kian menyerlah selepas menjadi naib juara program realiti Big Stage musim pertama.
Ramlah Zainal


Bakat Syafiq Farhain dalam bidang nyanyian kian mencuri perhatian ramai selepas menjadi naib juara program realiti Big Stage musim pertama.

Anak penyanyi legenda Allahyarham Saleem ini nekad mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi.

Malah, single pertamanya Sayang Maafkan Aku mendapat perhatian luar biasa peminat apabila mencecah lebih 1.5 juta tontonan di YouTube dalam tempoh tiga minggu dilancarkan.

Bagi pemilik nama sebenar Nursyafiq Farhain AM Salim, 24, dia sangat bersyukur kerana selepas program Big Stage rezekinya semakin murah.

“Bukan saja dalam bidang nyanyian, saya juga mendapat tawaran berlakon dan mengacara sekali gus,” katanya.

Syafiq juga mahu dikenali dengan identiti sendiri dan bukan menumpang nama arwah bapanya itu.

“Namun, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki termasuk aspek vokal.

“Sebab itu saya merancang mengikuti kelas vokal dengan guru vokal iaitu penyanyi Ernie Zakri untuk memantapkan mutu suara.

“Pada masa sama, saya dalam perancangan untuk muncul dengan single terbaharu tahun depan,” katanya.

Syafiq ditemui di kejohanan Badan Cantik Mr Sexy 2.0 2018 anjuran Fitness Inspire di Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.

Diminta mengulas vokalnya yang dikatakan mirip arwah Saleem, Syafiq mengakui bapa adalah idolanya dalam bidang nyanyian sejak dulu.

“Saya menyanyi sejak di bangku sekolah rendah tetapi suara saya tidak sedap pun masa kecil.

“Ramai yang cakap suara saya mirip arwah bapa tetapi abang saya pun memiliki vokal yang sama juga.

“Saya tidak dapat mengelak jika orang masih mengaitkan saya dengan arwah bapa dan terpulang kepada mereka,” katanya.

Mengulas larangan menyanyikan lagu arwah bapanya pula, kata Syafiq, dia tiada masalah untuk menyanyikan mana-mana dalam persembahan ketika ini.

“Ia terpulang pada saya sama ada mahu menyanyikannya atau sebaliknya.

“Saya tidak menyanyikan lagu arwah dulu kerana menghormatinya dan tidak mahu timbul isu ketika itu,” katanya.

Apapun, Syafiq mengakui belajar menyanyi sendiri dan menjadikan lagu arwah bapanya sebagai rujukan.

“Boleh dikatakan semua lagu arwah bapa saya suka. Antara lagu arwah yang sering nyanyikan ialah Suci Dalam Debu dan Cinta Terlarang,” katanya.

Mengenai pesanan arwah kepadanya pula, kata Syafiq, masih banyak ilmu yang perlu dipelajari dalam bidang nyanyian.

“Saya juga perlu ikhlas menceburi bidang nyanyian. Sebagai anak, saya rindu mahu mendengar suaranya dan bertemu dengannya,” katanya.

Rancang beli rumah

Walaupun sudah menceburi bidang seni, Syafiq tidak terfikir mahu meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba yang sudah diceburi lebih lima tahun lalu.

“Saya serius menyanyi ketika usia 21 tahun dan sering diundang membuat persembahan dalam acara anjuran pihak bomba sebelum ini.

“Saya akui kehidupan berubah daripada anggota bomba kini bergelar penyanyi. Berbanding dulu, saya juga perlu menjaga penampilan bila sudah bergelar artis.

“Saya mahukan kedua-dua bidang diceburi iaitu kerjaya sebagai anggota bomba dan bidang seni bergerak seiringan.

“Maklumlah, saya perlu kerjaya yang menjamin masa depan kerana perlu membantu keluarga di kampung.

“Pada masa sama, saya juga merancang untuk membeli rumah yang lebih selesa,” katanya.

Perkembangan lain, Syafiq juga tidak sabar menanti filem pertama lakonannya Hero The Movie ditayangkan di pawagam.

Lebih menarik, Syafiq turut diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi filem itu.

“Saya melakonkan watak penyelia bomba dalam filem yang memaparkan perjuangan pasukan bomba ini.

“Watak ini tidak berat dan tiada masalah untuk saya menjiwainya sebaik mungkin,” katanya.

Tidak ketinggalan, Syafiq baru selesai penggambaran program Travelog 13 episod Apa Lagi Terengganulah untuk saluran RTM.

“Saya juga seronok mengacara kerana ia pengalaman baharu. Program ini juga memaparkan tarikan dan tempat menarik serta peninggalan sejarah di Terengganu.

“Ia membabitkan empat pulau yang juga tarikan pelancong iaitu Pulau Perhentian, Redang, Kapas dan Bidong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:34 AM