Kalidevi Mogan Kumarappa


BAGI menarik minat murid terhadap subjek bahasa Inggeris, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau, Sik, Kedah mengamalkan pendekatan menyanyi sambil mengajar dengan menggunakan mikrofon karaoke.

Anis Salwa Alauddin, 31, yang juga guru bahasa Inggeris dan Matematik menyelitkan unsur seni dengan menyanyi sebagai pendekatan mengajar bagi memudahkan proses pemahaman murid terhadap subjek diajarnya.

“Daripada murid itu takut atau tidak minat subjek bahasa Inggeris, dia boleh berubah 100 peratus apabila seronok menyanyi dalam bahasa berkenaan dan mesej pelajaran pun sampai kepadanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ibu kepada dua anak itu berkata, SK Gulau adalah sekolah luar bandar yang agak jauh dari pekan Sik.

Beliau berkata, majoriti murid berbangsa Melayu dan beberapa murid keturunan Siam selain budaya belajar dan mengajar berbeza dengan sekolah di bandar.

Katanya, murid di luar bandar bersifat pemalu dan pendiam selain enggan bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Penerimaan murid terhadap guru baru yang tidak bertutur dalam dialek tempatan pula sangat sukar.

“Murid di sini menganggap bahasa Inggeris sebagai bahasa asing iaitu bahasa ketiga mereka.

“Mereka seolah-olah menolak bahasa ini. Tetapi lama-kelamaan bahasa ini berjaya dijadikan satu budaya buat mereka supaya tidak ketinggalan dengan arus perdana yang rata-rata memerlukan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat global,” katanya yang menurut jejak langkah ibu dan bapanya sebagai guru.

Menurutnya, dia banyak menyelitkan unsur didik hibur dengan nyanyian kerana percaya dapat membantu murid untuk lebih tertarik dengan pembelajaran dan mudah mengingat.

“Sebenarnya saya memang bergiat aktif dalam bidang nyanyian. Tidak dinafikan murid teruja apabila mengetahui saya juga penyanyi dan mereka kerap menonton nyanyian saya di saluran YouTube,” katanya.

Anis Salwa pernah menjadi johan dalam beberapa pertandingan seperti Bintang Klasik Nasional Peringkat Kebangsaan 2007, Bintang Klasik Nusantara Peringkat Nusantara 2007, Kebudayaan Peringkat Negeri 2015, Kebudayaan Peringkat Kebangsaan 2016 selain mendapat undangan persembahan bersama Radio Klasik, RTM dan majlis diraja.

Berikutan itu, beliau cuba bersikap proaktif dalam menjalankan tugas dan amanah.

“Saya sering mendidik mereka untuk tampil berani di hadapan orang ramai dan menepis segala ketakutan yang ada untuk berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 10:50 PM
ANIS menyelitkan unsur seni dengan menyanyi ketika mengajar bahasa Inggeris di SK Gulau, Sik.
ANIS menyelitkan unsur seni dengan menyanyi ketika mengajar bahasa Inggeris di SK Gulau, Sik.