NUR Qhayla
NUR Qhayla
Nor Fazlina Abdul Rahim


TANAH MERAH: Sejak lahir, kanak-kanak berusia dua tahun ini sudah diuji dengan masalah kesihatan apabila doktor mengesan lebihan cecair dalam kepalanya.

Tanpa mengetahui puncanya, Nur Qhayla Rania Mohd Firdaus menjadi pasif, hanya terbaring, tidak boleh bercakap dan makan seperti kanak-kanak seusianya yang membesar sihat.

Lebih menyedihkan, dalam tempoh dua tahun ini, sudah lima kali anak bongsu daripada dua beradik itu menjalani pembedahan di kepala untuk membuang cecair dan memasukkan alat bagi mengeluarkan lebihan.

Namun, sehingga kini, kepala Nur Qhayla Rania semakin membesar akibat masalah itu menyebabkan dia terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan.

Ibunya, Che Siti Nor Azreen Che Ishak, 23, berkata, sejak kandungannya berusia tujuh bulan, doktor sudah memaklumkan kepala anaknya besar namun dia tidak menjangkakan masalah itu serius.

“Memang pada awal kelahiran sukar kami sekeluarga menerima dugaan ini, namun saya positif dan mesti kuat bagi membesarkan Nur Qhayla Rania.

“Ketika Nur Qhayla Rania berusia 28 hari, dia menjalani pembedahan pertama untuk membuang lebihan air dan kali kedua pada usia sebulan, kali ketiga pada usia dua bulan, usia setahun (keempat) dan pembedahan terbaru pada 17 September lalu.

“Memang sedih melihat Nur Qhayla Rania hanya mampu terbaring dalam kereta sorong bagi memudahkan pergerakan di rumah,” katanya yang tinggal di Kampung Alor Pasir, di sini.

Che Siti Nor Azreen berkata, anaknya memerlukan rawatan rapi menyebabkan dia tidak boleh bekerja dan hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 sebulan.

“Suami bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan dan ia tidak menentu, sedangkan kos perbelanjaan yang perlu ditanggung keluarga tinggi.

“Walaupun doktor memaklumkan Nur Qhayla Rania sukar untuk kembali normal, saya reda dan berjanji akan menjaganya dengan penuh kasih sayang.

“Setiap hari Nur Qhayla Rania diberi minum menggunakan tiub yang dipasang pihak hospital dan saya sentiasa berdoa anak istimewa ini dipanjangkan umur,” katanya.

Orang ramai yang prihatin dan ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi ibu mangsa di talian 017-9439037 atau menyalurkannya ke akaun Maybank 153056463889 (Che Siti Nor Azreen Che Ishak).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:52 AM