Syaherah Mustafa


"KAMI hanya beraya ala kadar sahaja, cukuplah sekadar ada baju raya buat dua anak termasuk anak istimewa kami, Qhayla," luah Che Siti Nor Azreen Che Ishak.

Che Siti, 25, adalah ibu kepada anak istimewa, Nur Qhayla Rania Mohamad Firdaus, 4, yang menderita penyakit Hydrocephalus atau lebihan air di kepala sejak lahir menyebabkan anak kecil itu hanya mampu terbaring tidak seperti kanak-kanak lain seusianya.

Katanya, dia dan suami, Mohamad Firdaus Abdullah, 28, menyamnut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan sama seperti tahun sebelumnya, namun kali ini lebih sayu memandangkan suami sudah lama tidak dapat bekerja menyebabkan mereka sekeluarga hilang punca pendapatan.

"Bagaimanapun, saya tetap mencari baju raya buat anak kami termasuk kakak Qhayla, Nur Qisya Rania, 7, kerana tidak mahu mereka berasa sedih di Aidilfitri.

"Walaupun hanya sepasang setiap seorang, ia sudah cukup bermakna.

"Biarpun Qhayla tidak mampu bercakap dan hanya terbaring kerana saiz kepala besar akibat penyakitnya namun anak saya faham apa kami sampaikan dan ada kalanya menyahut pertanyaan kami dengan gerakan tangan dan senyuman.

"Tahun ini, kami menyambut puasa seperti biasa tetapi perlu berjimat cermat kerana tiada punca pendapatan, namun bersyukur ada beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan seperti lampin pakai buang dan susu khas buat Qhayla," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Stor, Alor Pasir, Tanah Merah.

CHE Siti Nor Azreen meriba Qhayla sambil diperhatikan Mohamad Firdaus ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Alor Stor, Alor Pasir, Tanah Merah. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
CHE Siti Nor Azreen meriba Qhayla sambil diperhatikan Mohamad Firdaus ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Alor Stor, Alor Pasir, Tanah Merah. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Che Siti berkata, Qhayla menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) sebanyak RM350 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana kos perbelanjaannya melebihi RM1,000 selain perlu membayar rumah disewa sebanyak RM200 sebulan.

Katanya, pada hari biasa suaminya mengambil upah menoreh getah, bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, punca pendapatannya hilang, ditambah dirinya hanya sebagai suri rumah sahaja.

"Lebih memeritkan, apabila Qhayla mudah terkena sawan, jika ia berlaku kami perlu segera membawanya ke hospital yang jaraknya 15 kilometer (km) dari rumah. Qhayla mudah diserang sawan apabila terkejut atau mengalami demam akibat cuaca terlalu sejuk atau panas.

"Walaupun keadaan Qhayla begini, saya tidak pernah mengeluh kerana dia anak syurga buat kami sekeluarga. Setiap kali melihat dia tersenyum dan ada masanya bergelak ketawa, hilang semua kebimbangan yang ada.

"Saya sentiasa berdoa agar kami suami isteri terus diberi kesihatan serta kekuatan untuk menjaga dua anak ini termasuk Qhayla yang memerlukan perhatian sepenuhnya. Selagi masih bernyawa, kami cuba sedaya upaya mencari rezeki dan pada masa sama berharap agar Covid-19 pulih dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 5:00 PM