Georgie Joseph


KERAP bekerjasama dengan Alif mutakhir ini termasuk menerusi lagu Sibuk, penyanyi Kaka Azraff akan terus menagih kerjasama komposer berkenaan. Kaka, 29, mengakui dia puas dapat menyanyikan karya dihasilkan Alif kerana baginya, kepuasan itulah yang diperlukan dalam kerjaya nyanyian.

Dia juga tidak menafikan sangat selesa bekerja dengan komposer itu, selain menyanjung kemampuannya menghasilkan muzik segar.

“Saya sangat bersyukur apabila peminat dan pendengar semakin faham hala tuju muzik saya. Perkara ini penting bagi mengukuhkan penjenamaan saya malah pemilihan lagu juga harus tepat.

“Setakat ini, Alif komposer yang sempurna pada mata saya bagi merealisasikan hal itu. Dia faham apa yang sesuai untuk saya dan sentiasa tampil dengan idea segar.

“Malah dia sedia mendengar apa yang saya mahukan dalam sesebuah lagu. Dengar sekali saja jenis lagu yang saya mahukan, dia akan hasilkan sesuatu yang memuaskan.

“Disebabkan itulah saya bercadang terus menggunakan khidmatnya sebagai komposer. Biarlah kena melutut sekalipun, saya sanggup asalkan dapat terus bekerja dengannya,” kata Kaka.

Apapun, itu tidak bermaksud Kaka menolak bekerja dengan komposer lain, sebaliknya mengalu-alukan sesiapa yang berminat memberikan lagu kepadanya.

“Dalam pemilihan karya, amat penting bersikap terbuka dengan idea sesiapa. Bukan komposer profesional pun boleh buat kejutan dengan menghasilkan lagu yang sangat bagus.

“Begitu juga dengan komposer lain yang ada di dalam negara dan luar negara. Saya sentiasa mengalu-alukan khidmat mereka,” katanya.

Teguh memperjuangkan muzik urban, Kaka berkata, tidak mudah baginya kerana terpaksa berdepan pelbagai dugaan sepanjang tujuh tahun mengasah bakat sebagai penyanyi.

“Banyak kali juga saya diminta tampil dengan lagu yang lebih mesra telinga. Contohnya, lagu irama balada yang selalu kita dengar di radio.

“Bukan tidak mahu, saya juga pencipta balada tetapi jika mahu hasilkan lagu sebegitu, perlu benar-benar kena dengan jiwa saya. Bunyinya juga mesti sesuai dengan vokal saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kaka menunggu masa paling tepat untuk merealisasikan impian berduet dengan ibu saudaranya, Ratu Rock Malaysia, Ella. Menurutnya, itu adalah impian yang sungguh bermakna apa lagi ibu saudaranya meninggalkan impak besar dalam industri muzik. Ella pun sudah bersetuju melakukannya.

“Sebenarnya, dia sudah bersetuju tampil bersama dalam sebuah lagu. Kami sudah berbincang perkara ini.

“Cuma, kami belum jumpa lagu sesuai. Maklum sajalah muzik kami berlainan dan amat penting bagi kami mendapatkan keserasian dalam lagu.

“Kadangkala dia akan berterus terang kalau tidak faham dengan lagu saya. Saya sangat menghormati dan faham apa yang cuba dia sampaikan,”

katanya.

Selain itu, Kaka bakal tampil dalam sebuah filem berjudul Zharfa The Movie yang menggabungkan produksi Malaysia dan Indonesia. Menerusi karya yang dijangka menemui penonton pada bulan depan, dia bergandingan dengan pelakon negara seberang, Donny Alamsyah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 4:45 AM