BAGI Kaka ramai ramai belum faham mengenai konsep vokal mencabar atau tidak.
BAGI Kaka ramai ramai belum faham mengenai konsep vokal mencabar atau tidak.
Georgie Joseph


Jika mendengar lontaran vokal penyanyi ini dalam dua lagu popularnya iaitu Bawaku Pergi dan Bukan Hal Aku, Kaka Azraff seakan-akan tidak bermain dengan cabaran vokal.

Ditambah pula dengan konsep lagu terbabit yang santai, jarang sekali kedengaran dia menarik tinggi suaranya.

Namun, ia tidak bermakna penyanyi berusia 27 tahun ini memandang remeh elemen berkenaan dalam nyanyiannya.

Hakikatnya, dia sendiri sangat memilih apabila diberikan mana-mana karya sebelum setuju menyanyikannya.

Bezanya, menurut Kaka mungkin ramai yang belum faham mengenai konsep vokal mencabar atau tidak itu.

Akuinya, lagu Bukan Hal Aku itu pun sebenarnya benar-benar menguji kemampuannya.

“Saya perasan pendengar kita masih beranggapan lagu yang mencabar vokal adalah lagu bernada tinggi. Padahal, aspek vokal itu sangat subjektif untuk dinilai dan lagu bernada rendah pun ada yang mencabar.

“Contohnya lagu Bukan Hal Aku itu sendiri yang semestinya di telinga orang kedengaran sangat ringkas. Sebaliknya, saya sendiri berasakan kesulitan sewaktu merakamnya kerana susah hendak masukkan jiwa dalam bait nyanyian,” katanya.

Itulah juga aspek yang masih dijaganya untuk single terbarunya Terima Kasih ciptaan Alyph SleeQ.

Lagu berkenaan dijangka dilancarkan tidak lama lagi dan bagi Kaka, lagu itu sangat istimewa.

“Ia masih ada elemen seperti lagu terdahulu namun temponya lebih kepada balada. Saya pun sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu kategorikan lagu mengikut genre.

“Apa yang saya tahu, muziknya sangat berbeza dan segar. Saya rasa muzik sebegitu belum dibuat lagi di Malaysia. Sejujurnya, saya yakin lagu berkenaan akan diterima juga seperti lagu popular saya yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, ditanya mengenai tahap optimisnya apalagi dengan tampil dengan muzik yang terlalu asing itu, Kaka cuma tersenyum.

Ia jelas memberikan dia satu kelegaan jika benar ia akan diterima kerana dia sendiri mahu ‘trendsetter’ muzik sebegitu.

“Bila lagi mahu ketengahkan pembaharuan dalam muzik tempatan, bukan? Saya tidak melihat ia satu tindakan merugikan apabila tampil dengan muzik yang mungkin asing di telinga pendengar.

“Saya berkata demikian kerana di luar negara muzik yang saya tampilkan itu sudah cukup diterima baik. Dalam hal ini, saya lebih melihat kepada menjadi pencetus kepada angin baru terhadap lagu tempatan,” katanya.

Kahwin sebelum usia 30

Menjadi soalan yang begitu menjerat, Kaka bagaimanapun tidak pernah mahu mengelak apabila menyentuh bab kahwin. Dia sendiri gembira apabila ada yang mengambil berat mengenai dirinya masih belum mendirikan rumah tangga.

Namun, dia sendiri tidak mahu menjadikan ia satu bebanan untuk dirinya sehingga perlu difikir sangat. Apatah lagi dengan keadaan sekarang dirinya terlalu fokus kepada kerjaya, banyak membataskan komitmen bercintanya.

Apapun, dia berjanji tidak akan merahsiakan mengenai perkara bercinta atau berkahwin jika jodohnya datang kelak.

“Memang saya belum berpunya dan masih mencari kekasih hati. Yang intim dan sedang dikenali hati budi pun tiada juga.

“Saya tahu jodoh akan datang juga nanti di mana individu berkenaan pastinya yang paling tepat dan memahami saya. Sebelum usia 30 mungkin impian itu terlaksana dan sekarang saya pun baru berusia 27 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 1:19 PM