SITI Nurhaliza anggap arwah sebagai bapa.
SITI Nurhaliza anggap arwah sebagai bapa.
Rudy Imran ShamsudinAmirul HaswendyArdini Sophia dan Syafil Syazwan dan Najiy Jefry

Kuala Lumpur: Segala kenangan, gurau senda dan didikan Pak Ngah akan tetap dalam ingatan. Selain arwah Adnan Abu Hassan, beliau antara individu yang saya mula-mula bekerjasama dalam menyanyikan lagu-lagu tradisional,” kata Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Siti ketika dihubungi berkata, dia masih ingat ketika Allahyarham bertindak sebagai pengarah bagi konsert pertamanya.

“Konsert sulung saya adalah arahan Pak Ngah. Kali terakhir kami bekerjasama ialah menerusi lagu raya berjudul Hari Kemenangan dua tahun lalu yang juga ciptaannya,” katanya.

Siti berkata, pemergian Pak Ngah adalah satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air khususnya bagi lagu-lagu irama tradisional.

Siti yang pernah mendendangkan lagu ciptaan Allahyarham seperti Cindai, Sesuci Lebaran dan Nirmala berkata, karya Pak Ngah akan terus hidup walaupun tokoh seni negara itu sudah meninggal dunia.

Penyanyi lagu tradisional, Noraniza Idris menyifatkan Pak Ngah sebagai pejuang dan ikon kepada lagu-lagu irama Malaysia.

“Dia juga antara individu yang lantang bersuara memperjuangkan genre itu serta melindungi kami yang menyanyikan lagu irama sedemikian. Semua orang akan dengar cakap dia sebab dia adalah ‘bapa irama Malaysia’.

“Saya anggap arwah seperti bapa sendiri. Segala teguran dan nasihat yang diberikan banyak membantu kerjaya dan perjuangan saya dalam memartabatkan irama Malaysia dalam industri muzik tanah air.

Dia juga antara insan yang berjasa besar membentuk karier saya sebagai penghibur,” katanya.

 PAK Ngah beraksi  bersama Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris pada persembahan pembukaan  Konsert Pengenalan Irama Malaysia pada November 2016. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
PAK Ngah beraksi bersama Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris pada persembahan pembukaan Konsert Pengenalan Irama Malaysia pada November 2016. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat

Menurut Noraniza, sebaik menerima berita kematian Pak Ngah, dia terkejut dan meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat mengadakan konsert penghormatan kepada Allahyarham dan berkonsepkan irama Malaysia.

“Saya pernah kongsikan idea itu bersama arwah dan dia sanggup menghulurkan bantuan tanpa sebarang balasan. Saya terkilan kerana Pak Ngah tidak sempat menonton konsert itu nanti sedangkan segala persiapan sedang dibuat dan konsert itu bakal diadakan pada tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 10:32 AM