ROSA Aminta dan anaknya ditemui mati. FOTO Facebook
ROSA Aminta dan anaknya ditemui mati. FOTO Facebook
Agensi

Alabama (Amerika Syarikat): Seorang remaja perempuan didakwa atas tuduhan menikam mati ibu dan kakaknya, selain dipercayai cuba membunuh diri sebelum ditangkap.

Rosa Aminta Maldonado, 44, dan anaknya, Rosa Lee Maldonado, 19, ditemui mati akibat ditikam di kediaman mereka di Lester, daerah Limestown pada jam 1 pagi, Khamis lalu. Mereka turut menemui seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang sedang menikam kepala dan tengkuknya, dipercayai untuk membunuh diri.

Gadis berkenaan kini didakwa atas dua tuduhan bunuh, lapor WHNT19.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran lanjut kerana dia masih bawah umur, lapor Daily Mail.

Pegawai Penerangan Syerif daerah Limestone, Stephen Young memberitahu The News Courier of Athens: “Siasatan awal menunjukkan remaja itu menikam mati ibu serta kakaknya dalam satu pertengkaran sebelum cuba membunuh diri menggunakan pisau sama.

Syerif Mike Blakely berkata, panggilan kecemasan dibuat seorang daripada wanita yang mati.

“Rekod panggilan antara yang paling mengerikan pernah saya dengar sepanjang 47 tahun dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Anda dapat mendengar dua wanita sedang dibunuh, menjerit meminta bantuan dan merayu penyerang mereka berhenti menyerang.

“Kami mendapat bantuan seseorang yang fasih berbahasa Sepanyol untuk menterjemah apa dikatakan dalam rakaman itu.”

Blakely berkata, pihaknya akan turut menyoal rakan sekolah suspek remaja itu serta ahli keluarga lain untuk mengenal pasti motif perbuatannya.

Lebih menyedihkan lagi, seorang lagi anak perempuan Rosa Aminta, Katherine, 15, dirogol dan dibunuh menantunya pada 2011. Tertuduh, Carlos Cardenas, ketika itu suami anak sulung Rosa Aminta dan kini menjalani hukuman penjara 25 tahun selepas mengaku salah bagi kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 9:49 AM