CONGRONG mengutip sampah di satu kawasan kaki lima di Chingqing, barat laut China. FOTO Sixth Tone
CONGRONG mengutip sampah di satu kawasan kaki lima di Chingqing, barat laut China. FOTO Sixth Tone
Agensi

Chingqing, China: Sekali imbas kelibat seorang lelaki yang sering dilihat mengutip sampah di bandar Chingqing di barat daya China ini mungkin kelihatan seperti pekerja perbandaran yang ditugaskan untuk menjaga kebersihan.

Namun, ramai yang terkejut apabila mengetahui lelaki itu sebenarnya adalah seorang jutawan yang memiliki syarikat hartanah, pengedar kereta dan beberapa kilang pengeluaran di China.

Sejak tiga tahun lalu, Zhong Congrong, 52, akan berjalan di bandar itu sambil mengutip sampah sehingga dia dikenali sebagai pengutip sampah jutawan.

Congrong berkata, dia mendapat inspirasi untuk menjaga alam sekitar selepas bertemu dengan seorang bekas profesor di wilayah Hainan yang menghabiskan masa lapangnya dengan mengutip sampah di kawasan taman.

Dia sangat kagum dengan semangat wanita berkenaan dan sejak itu dia melakukan perkara sama di bandarnya sendiri.

Pada mulanya, usaha Congrong itu menerima banyak reaksi negatif daripada orang ramai yang tidak faham mengapa seorang jutawan sanggup mengotorkan tangannya untuk mengutip sampah.

PADA mulanya ramai menganggap Congrong hanya mahu meraih populariti dengan mengutip sampah. FOTO cqnews.net
PADA mulanya ramai menganggap Congrong hanya mahu meraih populariti dengan mengutip sampah. FOTO cqnews.net

Ramai menuduh Congrong hanya mahu menjadi tarikan media untuk mempopularkan dirinya, malah isteri dan anaknya juga malu dengan tindakannya itu.

Apabila masa berlalu, penduduk mula melihat kawasan bandar mereka semakin bersih kerana usaha Congrong dan sejak itu mereka mula memuji serta menyokong lelaki berkenaan.

Malah isterinya juga bangga dengan Congrong, dan wanita itu juga menubuhkan badan bukan kerajaan yang berkempen membasmi amalan membuang sampah.

Congrong juga memakai baju dengan slogan menggalakkan orang ramai menjaga kebersihan dan dia juga mendenda pekerjanya yang membuang sampah merata-rata di tempat kerja.

“Sama ada anda membuang atau mengutip sampah, ia tidak mempunyai kaitan dengan pencapaian akademik, latar belakang budaya, umur atau status sosio-ekonomi,” kata Congrong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 9:01 AM