MOHAMADOU Sumareh (kiri) calon hangat perkuat skuad kebangsaan. FOTO Farizul Hafiz Awang
MOHAMADOU Sumareh (kiri) calon hangat perkuat skuad kebangsaan. FOTO Farizul Hafiz Awang
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Sudah jemu dengan prestasi hambar skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa, peminat tempatan merasakan sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan kaedah baru dengan menyerap pemain naturalisasi.

Biarpun penggunaan pemain naturalisasi baru di peringkat cadangan FAM, rata-rata peminat bola sepak tempatan menyambut baik langkah itu.

Berdasarkan undian umum dibuka sejak Rabu lalu dan berakhir jam 4 petang semalam menerusi laman sosial media Facebook Harian Metro, 68 peratus daripada 2,800 undian menyokong cadangan itu.

Sementara undian di Twitter Harian Metro pula menyaksikan daripada 1,120 undian, sebanyak 69 peratus menyokong untuk memberi kerakyatan kepada pemain luar bagi menyarung jersi Harimau Malaya.

Ramai di antara mereka beranggapan, sudah tiba masanya untuk Malaysia mengikut jejak langkah negara luar yang sudah lama menggunakan pemain bukan kelahiran negara sendiri.

“Banyak juga negara Asia dan Eropah mencuba kaedah ini dan berhasil, contoh seperti HK (Hong Kong), Filipina dan juga Perancis, bukan semua pemain lahir dari sana, sama juga Spain (Sepanyol),” kata Hasridzuan Hassan.

Bagi Muhamad Zulfikri pula, dia merasakan peminat sudah bosan dengan prestasi pemain tempatan yang kini menduduki ranking ke-171 dunia.

Dalam pada itu, menerusi undian di Facebook Berita Harian mendapati 75 peratus daripada 2,800 undian peminat menyokong kehadiran pemain naturalisasi manakala 72 peratus daripada 789 undian di Twitter Berita Harian turut memberi ‘restu’ FAM meneruskan cadangan itu.

Menurut seorang peminat yang menggunakan nama Isa Mueller, langkah pengambilan pemain naturalisasi boleh dilaksanakan bagi jangka masa pendek.

“Perlu untuk jangka masa pendek bagi menaikkan ranking negara. Untuk tunggu sementara pemain muda ‘masak’ (digilap) boleh pakai naturalisasi untuk ubah gaya permainan dan standard bola sepak kita,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan undian yang dilakukan menerusi Facebook NST dan Twitter NST, kebanyakan pengundi menentang cadangan itu.

Sejumlah 59 peratus daripada 416 undian (Facebook NST) menolak pengambilan pemain naturalisasi dan hasil undian di Twitter NST pula 51 peratus daripada 455 undi juga tidak memihak kepada FAM.

Kebanyakan mereka menggunakan kegagalan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia walaupun memiliki pemain naturalisasi sebagai contoh, selain mempertikaikan semangat patriotik dalam diri pemain yang diberi kerakyatan Malaysia nanti.

“Bagaimana mahu mencetuskan rasa bangga dan patriotisme apabila pemain itu tidak dilahirkan di sini? Jangan abaikan kualiti ini dengan memberi kerakyatan kepada pemain luar,” kata seorang peminat yang menggelarkan dirinya di Twitter sebagai D’Aldebaran.

Isu pengambilan pemain naturalisasi mula menjadi perbahasan ramai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kurang bersetuju dengan cadangan itu kerana mahu anak watan memartabatkan sukan nombor satu negara ini.

Setakat ini, belum pernah pemain luar diberikan kerakyatan untuk menyarung jersi Harimau Malaya sebaliknya hanya pemain berdarah campuran pernah dipanggil antaranya Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (Johor Darul Ta’zim), Brendan Gan (Perak) dan Khair Jefri Jones (Melaka United).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:43 AM