NG Tien Chee. FOTO Arkib NSTP
NG Tien Chee. FOTO Arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee, meninggal dunia dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi di Kilometer 11. 7 lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, Nissan Xtrail dipandu Tien Chee dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi Lebuhraya Grand Saga.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa, pemandu kereta Nissan Xtrail sudah meninggal dunia.

“Mangsa adalah ADUN Balakong, Ng Tien Chee, maut di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menerusi Twitter menggunakan akaun @AmirudinShari mengucapkan takziah kepada keluarga Tien Chee.

“Saya telah menerima berita dukacita YB @eddiengtienchee, ADUN Balakong telah meninggal dunia akibat nahas kemalangan jalan raya.

“Takziah diucapkan kepada keluarga. Saya turut merasa sedih dan terkejut apabila menerima berita pemergian mendiang YB Ng Tien Chee,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Tien Chee mengalahkan dua pencabar masing-masing dari BN, Lim Chin Wah, dan PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali, dengan kelebihan 35,538 undi.

Dalam saingan itu, beliau yang juga wakil DAP, memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 2:18 AM