Ardini Sophia Sina

[email protected].

Mutakhir ini masalah kemurungan sering menjadi topik hangat baik di media elektronik mahu pun media cetak. Isu ini bukan saja berlaku di luar negara tetapi juga di Malaysia.

Kemurungan tidak hanya dialami golongan dewasa, namun kanak-kanak dan remaja turut berisiko berdepan masalah sama disebabkan tekanan yang sudah tidak dapat dikawal.

Ia dibahagikan kepada beberapa kategori bagi membezakan tahap keseriusan penyakit itu. Andai dibiarkan kemurungan boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan.

Ada individu yang mengalami kemurungan sanggup mengambil dadah demi melupakan gelora dihadapinya. Tidak kurang juga sanggup mencederakan diri dan paling teruk membunuh diri.

Penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan antara individu yang pernah berkongsi pengalaman mengalami kemurungan. Hampir dua bulan berdepan masalah itu, ia pengalaman cukup perit baginya.

Kata anak seni yang mesra disapa Lizzy itu, ibunya insan yang bertanggungjawab mengembalikan semangatnya untuk meneruskan kehidupan. Dia juga pernah bertemu pakar psikiatri untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Sesetengah orang yang mengalami kemurungan malu untuk berkongsi masalah namun bagi Lizzy tiada apa yang perlu diselindungkan. Malah, dia berharap perkongsian ini dapat membuka mata masyarakat bahawa kemurungan adalah masalah serius dan tidak boleh dipandang enteng. Wartawan ARDINI SOPHIA SINA melaporkan.

ELIZABETH Tan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ELIZABETH Tan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Kemurungan antara topik hangat dibincangkan kebelakangan ini. Lizzy sendiri pernah mengalami kemurungan. Mungkin Lizzy boleh kongsi pengalaman itu.

Saya mengalami masalah ini tahun lalu. Bagaimanapun, tempohnya tidak lama. Meskipun hanya hampir dua bulan, tahap kemurungan saya boleh dikatakan agak teruk.

Saya bernasib baik kerana keluarga dan rakan-rakan sedaya upaya membantu saya keluar daripada masalah ini.

Sebelum menceburi bidang seni, pernahkah Lizzy mengalami kemurungan?

Sebelum bergelar penyanyi saya tidak pernah mengalami masalah ini. Bagaimanapun, ada sesetengah kes menyebabkan tiba-tiba saja mengalami kemurungan yang sangat serius. Ia mungkin disebabkan terlalu lama memendam rasa trauma, marah atau sedih. Apabila simpan terlalu lama, mereka akan ‘meletup’. Individu yang murung jiwanya sangat rapuh dan apa saja boleh terjadi.

Apabila sedar Lizzy mengalami kemurungan, apa perkara pertama yang dilakukan?

Sebenarnya, mama yang buka mata saya. Dia menasihati saya agar berjumpa pakar psikiatri. Saya pergi dan menangis selama sejam. Tidak ada perbincangan apa-apa pun. Secara peribadi, insan yang banyak membantu saya ialah mama.

Dia selalu ada untuk berikan nasihat dan pastikan saya makan. Individu yang mengalami masalah ini akan hilang selera makan. Kalau tidak makan, badan akan kekurangan nutrien dan ia boleh menyebabkan kemurungan menjadi semakin teruk.

Kemurungan akan menyebabkan seseorang tidak dapat rehat yang cukup kerana tidak dapat tidur atau badan jadi ‘lembik’ kerana terlebih tidur dan tidak melakukan aktiviti lain. Apabila murung saya akan berkurung dalam bilik. Saya juga boleh menangis empat hingga lima jam. Apapun, mama menjaga saya dengan baik agar dapat rehat dan nutrien yang cukup.

Ada orang yang mengalami kemurungan takut untuk berkongsi masalah berkenaan kerana bimbang diperlekeh dan disalah anggap. Apa pandangan Lizzy mengenai perkara ini?

Kemurungan ini ada spektrum. Ada yang mengalami kemurungan teruk dan ada juga yang sederhana. Sesiapa yang merasakan kemurungan mereka di tahap membimbangkan, segeralah berjumpa doktor.

Tak boleh malu. Ia sama seperti demam denggi. Kita perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Otak hanyalah satu organ dalaman kita sama seperti buah pinggang dan usus. Kemurungan bermakna otak kita sedang mengalami masalah sama seperti masalah kegagalan fungsi buah pinggang.

Ada antara mereka yang mengalami masalah kemurungan menolak untuk berjumpa pakar psikiatri kerana tidak mahu dianggap gila.

Bagi saya pemikiran seperti itu tidak betul. Sekarang seluruh dunia hangat membincangkan topik ini. Di mana-mana saja ada individu yang mengalami masalah ini.

Mungkin kawan-kawan akan buat penilaian, tetapi kita harus sedar ia perkara normal. Kita bukan gila.

Salah satu sebab mereka enggan bercerita adalah kerana kawan-kawan anggap remeh. Pernah tak Lizzy berhadapan situasi seperti itu?

Saya bernasib baik kerana rakan-rakan sangat memahami dan prihatin. Ketika murung, saya jadi orang yang berbeza. Saya sangat kurus, tiada senyuman dan tidak bercakap dengan siapa.Ketika menonton drama penyiasatan pun saya tiba-tiba menangis selama lima jam tanpa sebab. Saya sendiri tidak tahu kenapa saya menangis.

Melihat keadaan saya seperti itu, mereka tahu ada sesuatu yang buruk sedang berlaku. Syukur, mereka tidak mempersendakan saya. Mereka juga tahu bahawa rehat atau tidur tidak akan menyelesaikan masalah yang saya hadapi. Untuk mereka yang anggap kemurungan masalah remeh, mereka perlu tahu di negara ini kes bunuh disebabkan kemurungan banyak berlaku cuma tidak dilaporkan. Ia adalah masalah serius.

Ada yang ambil pil tidur dan dadah untuk melupakan masalah dihadapi. Komen?

Kalau ubat yang dipreskripsikan oleh doktor, ia akan sangat membantu. Namun kalau diambil sendiri tanpa pemantauan doktor, jangan teruskan. Kita tidak tahu apa kandungan ubat itu dan kesannya.

Bimbang nanti ia bukan mengurangkan masalah sebaliknya menjadikan keadaan lebih teruk. Adalah lebih baik jika kita mendapat nasihat daripada mereka yang pakar.

Sebagai selebriti, apa inisiatif Lizzy dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap masalah ini?

Salah satunya dengan bersetuju melakukan temu bual ini. Saya kongsi masalah yang saya hadapi kerana mahu orang tahu bahawa kemurungan adalah perkara biasa dan ia tidak ada kaitan dengan agama mahupun kepercayaan. Ia adalah masalah biologi. Apabila hormon tidak seimbang, ia akan menyumbang kepada kemurungan. Doa kadang-kadang berkesan dan adakalanya kita masih perlu ke hospital untuk mendapatkan bantuan perubatan bagi memulihkan diri kita.

Saya ada seorang kawan murung sehingga tahap mencederakan ibunya dan membaling barang. Ibu bapanya minta dia agar berdoa, tetapi dia sendiri sedar itu tidak cukup. Dia sedar kemurungan yang dia alami itu memang teruk dan perlu mendapatkan rawatan dan ubat untuk mengurangkan tekanan.

Apa pandangan Lizzy apabila ada anak seni berbakat besar ingin bersara kerana kemurungan?

Saya faham apa yang dia rasai kerana saya pernah lalui perkara sama. Ada rakan artis pernah cakap, dia sudah imun kerana melalui banyak perkara pahit. Sekarang, dia tidak lagi takut dan boleh berdiri dengan bangga.

Apabila kita masuk dalam industri, normal kita akan dikecam, diadili dan orang akan bercakap mengenai kita ikut suka mereka. Ia memang sesuatu yang perlu kita terima walaupun perit.

Jadikan kecaman dan kritikan itu sebagai pemangkin semangat untuk memperbaiki kekurangan diri, tingkatkan bakat dan kredibiliti diri. Atau pilih untuk abaikan saja.

Setiap orang ada pandangan tersendiri. Saya pun ada pendapat sendiri. Ada yang saya suka dan ada yang saya tidak suka. Kita tidak boleh kawal orang cakap atau fikir.

Ada satu kata-kata yang saya jadikan pedoman, kalau ada lukisan cantik dan menakjubkan, orang cakap dan kecam macam manapun, lukisan itu tidak akan berubah. Ia tetap kekal begitu. Ia akan tetap cantik.

Kalau orang kecam saya tidak boleh menyanyi, pedulikan. Saya tahu saya ada kebolehan untuk menyanyi. Kata-kata mereka tidak akan mengubah suara, bakat atau kebolehan saya. Apa yang keluar daripada mulut mereka hanya sekadar perkataan. Saya pilih untuk tidak membiarkan kata-kata itu menyakiti saya.

Kecaman dan komen negatif netizen turut menyumbang kepada kemurungan. Bagaimana Lizzy mengatasi situasi ini agar tidak menjejaskan emosi dan ketenangan Lizzy?

Ada tahap di mana apabila baca komen kita tidak dapat tanggung rasa sakit dan saya tidak ada masalah untuk tutup akaun media sosial buat sementara waktu. Bagi saya, sangat penting untuk ada kelompok kecil yang boleh dipercayai seperti keluarga dan rakan-rakan.

Dengar apa yang mereka ingin katakan. Orang luar tahu nama kita, tetapi mereka tidak ‘kenal’ kita. Mereka hanya tahu berdasarkan apa yang mereka nampak dan dengar.

Kata-kata akhir?

Saya tahu, masih ramai yang tidak faham dan menganggap kemurungan perkara remeh sedangkan ia bahaya jika dibiarkan.

Sebagai contoh, Demi Lovato pernah mendedahkan dirinya mengalami masalah kemurungan dan kemudian muncul dengan lagu Sober yang menggambarkan dirinya sudah bebas daripada masalah itu.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap permasalahan ini. Bantulah mereka yang berdepan masalah ini sebelum terlambat. Mereka memerlukan sokongan orang sekeliling terutama insan tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 7:39 AM