RAMLAH akui ramai lelaki cuba dekatinya namun dia belum bersedia berumah tangga lagi.
RAMLAH akui ramai lelaki cuba dekatinya namun dia belum bersedia berumah tangga lagi.
Syafil Syazwan Jefri


Hidup sendirian sebagai janda tidak membuatkan sambutan Aidilfitri penyanyi Ramlah Ram hambar.

Penyanyi lagu Selamat Jalan Romeo itu bahkan menghargai kehidupannya sebagai wanita yang mampu berdikari di samping keluarganya.

“Sambutan Aidilfitri sama seperti sebelum ini. Saya beraya dengan ibu di Muar dan Kluang, Johor,” katanya.

Ditanya sama ada dia memikirkan soal jodoh selepas perkahwinannya sebelum ini gagal, Ramlah berkata, itu bukan lagi keutamaan.

“Buat masa sekarang, saya tak pernah fikir soal jodoh. Mungkin saya sudah selesa dengan kehidupan sekarang dan tidak berasa sunyi,” katanya.

Ramlah mengakui ramai lelaki cuba mendekatinya namun dia belum bersedia membuka pintu hati.

“Tipu kalau saya kata tidak ada yang mendekati. Saya tidak terlalu melayan dan memikirkannya,” katanya.

Ditanya sama ada dia trauma dengan pengalaman perkahwinan pertama, Ramlah menafikan perkara itu.

“Tidak sampai tahap trauma atau serik, tetapi saya berhati-hati untuk berumah tangga lagi. Lagi pun, pada usia 52 tahun saya malas nak mencari pasangan,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah menutup hati untuk menerima lelaki dalam hidupnya, Ramlah menafikannya.

“Tak boleh cakap begitu. Allah sudah tentukan semua benda dan kalau ada jodoh saya dengan sesiapa, itu rezeki daripada-Nya.

“Buat masa sekarang, antara hikmah di sebalik apa yang berlaku saya boleh jaga dan luangkan masa dengan ibu,” katanya.

Ditanya apa yang bermain di fikirannya ketika menyambut Syawal, Ramlah berkongsi rasa duka atas pemergian rakannya yang juga komposer Suzaimi.

“Dia rakan saya dan menggalas tugas sebagai presiden kelab peminat saya. Pemergiannya satu kehilangan besar buat saya.

“Dia juga ada hasilkan lagu yang sepatutnya menjadi single baru saya. Namun, dia tak sempat melihat hasilnya,” katanya.

Menurut Ramlah, dia akan meneruskan rancangan menerbitkan single itu bagi merealisasikan impian arwah.

“Arwah meninggal dunia pada Mac lalu. Karya terakhirnya itu bergenre ketuhanan. Saya akan teruskan juga.

“Saya sudah masuk studio untuk mendengar melodi lagu berjudul Masar Cinta itu.

“Selepas selesai sambutan Aidilfitri, saya akan masuk ke studio semula dan selesaikan rakaman vokal,” kata Ramlah yang menitipkan ucapan selamat hari raya dan doa buat semua peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 8:18 AM