PAPARAN lumba berkenaan yang dikongsi menerusi pengguna FB yang tular.
PAPARAN lumba berkenaan yang dikongsi menerusi pengguna FB yang tular.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang individu memuat naik status di Facebook mengenai ‘kejayaan’ perlumbaan haram motosikal membawa kepada penahanan lima suspek dalam dua serbuan berasingan di sekitar Selangor dan Perlis, Khamis lalu.

Kelima-lima mereka dipercayai pengatur perlumbaan itu yang membabitkan dua kumpulan bengkel.

Sumber berkata, pihak polis mendapat maklumat mengenai perlumbaan haram itu melalui status dimuat naik menerusi akaun individu dikenali sebagai ‘Matt Yie’ yang mengucapkan tahniah kepada pemenang pertandingan yang dikatakan memenangi wang berjumlah RM165,000.

“Polis mengesan status itu melalui satu blog milik ‘Jowiekuendah.com’ bertajuk ‘Selepas game RM60k pertaruhan lumba haram cecah RM160k Y15ZR bukan level rempit’ berkaitan perlumbaan motosikal antara dua kumpulan bengkel yang diadakan di Kilometer (KM) 218 hingga KM 220 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Khamis lalu.

“Hasil maklumat ini, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman membuat serbuan berasingan di dua bengkel motosikal di Gombak, Selangor dan Kangar, Perlis bermula jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber itu berkata, dalam serbuan pertama di sebuah bengkel di Gombak, Selangor, jam 7.30 malam, polis menahan tiga lelaki yang mengaku sebagai mekanik dan berada di lokasi perlumbaan ketika kejadian.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna merah yang digunakan ketika perlumbaan berkenaan.

“Di lokasi serbuan kedua di sebuah bengkel di Kangar, jam 10.50 malam, polis menahan dua lelaki termasuk pemilik bengkel. Berikutan itu, polis merampas merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna biru,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua bengkel berkenaan mengatur perlumbaan yang dimenangi oleh bengkel di Gombak, membabitkan wang pertaruhan sebanyak RM165,000.

“Semua suspek yang ditahan mengaku terbabit dalam perlumbaan itu dengan peranan masing-masing sebagai penunggang, mekanik dan penganjur yang bertanggungjawab mengutip wang pertaruhan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 81 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 3:01 PM