SERPIHAN soket lampu di dalam paru-paru lelaki itu. FOTO Jiaxing News
SERPIHAN soket lampu di dalam paru-paru lelaki itu. FOTO Jiaxing News
Daily Mail

Beijing: Doktor berjaya mengeluarkan soket lampu yang tersangkut di dalam paru-paru seorang lelaki selepas dia tersedut objek itu yang digunakan sebagai penapis ketika merokok, lebih 30 tahun lalu.

Objek itu ditemui doktor selepas lelaki dikenali sebagai Hao, 45, dimasukkan ke hospital di Jiaxing, timur China kerana batuk kronik.

Dia kemudian menjalani pembedahan dua jam bagi membolehkan serpihan soket lampu itu dikeluarkan.

Dr Wang di Hospital Rakyat Pertama Tongxiang sebelum itu melakukan imbasan CT tomografi berkomputer terhadap pesakit terbabit dan menemui bayang-bayang putih pada bronkus kiri utama.

“Ia bukan ketumbuhan tetapi kelihatan ada objek asing tersangkut pada paru-parunya,” katanya kepada Jiaxing News.

Dr Wang melakukan pemeriksaan terhadap paru-paru Hao menggunakan bronkoskopi yang dimasukkan menerusi mulut pesakit terbabit sebelum mendapati soket lampu itu tersangkut pada bahagian tisu.

Kemudiannya dia menggunakan forsep untuk mengeluarkannya secara berhati-hati dari paru-paru berkenaan.

Sementara itu, Hao menceritakan kejadian itu berlaku pada 1987 dan memberitahu doktor objek itu mungkin soket lampu.

“Pada zaman 1980-an, rokok tiada penapis. Kami cuma menggunakan daun tembakau dan rasanya cukup pahit.

“Sebab itu saya menggunakan soket lampu sebagai penapis rokok, menyebabkan secara tidak sengaja tertelan objek terbabit.

“Saya menarik nafas ketika joging dan tertelannya secara tidak sengaja,” katanya.

Dia menderita batu kronik sejak tiga dekad lalu dan beberapa doktor lain memberitahunya bahawa dia menghidap radang paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 6:41 AM