STATUS berhubung ganjaran wang tunai yang dimuat naik bapa mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
STATUS berhubung ganjaran wang tunai yang dimuat naik bapa mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG bapa di Melaka sanggup menawarkan wang tunai RM5,000 kepada pemberi maklumat sehingga berjaya menangkap lelaki yang didakwa merogol serta menculik anak perempuannya, sejak 3 April lalu.

Status bapa mangsa yang juga gadis bawah umur itu dimuat naik di Facebook (FB) sejak beberapa hari lalu kini tular di beberapa ‘group’ FB dipercayai selepas anak perempuannya berusia 15 tahun, pulang ke rumah neneknya di Balai Panjang, Khamis lalu.

Difahamkan, bapa mangsa sudah membuat laporan polis dan pihak berkuasa kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Mohd Nor Yhazid Idris berkata, mangsa tidak lagi bersekolah selepas tamat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Beliau berkata, mangsa tinggal bersama ibu saudara di Seremban dan ada kalanya bersama neneknya di Balai Panjang, di sini.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur penculikan, malah gadis terbabit mengenali suspek yang juga teman lelakinya sejak Januari lalu.

“Kami masih menjalankan siasatan yang dilakukan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) JSJ negeri dan sehingga kini, belum ada tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa sudah ditemui apabila pulang ke rumah neneknya di Balai Panjang pada 19 April lalu.

Katanya, mangsa kini berada di Hospital Melaka dan ditahan wad untuk pemantauan dan pemeriksaan kerana bapa mangsa mendakwa anaknya dirogol.

Dalam pada itu, Mohd Nor Yhazid mengesahkan pihaknya kini memburu lelaki berusia 25 tahun seperti gambar yang ditularkan bapa mangsa di laman FB.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kesalahan mencuri dan curi kenderaan.

Mengulas mengenai tawaran wang tunai dibuat bapa mangsa, beliau berkata, terpulang kepada pihak berkenaan tetapi menegaskan polis akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 4:55 PM