Mohd Hilmie Hussin

GARA-GARA mahu berseronok di pusat karaoke, nasib seorang gadis bawah umur bertukar mimpi ngeri apabila dicabul lelaki yang dikenalinya, Jumaat lalu.

Difahamkan, gadis berusia 16 tahun yang menuntut di tahun pertama sebuah pusat Giat Mara, di Melaka, mendakwa, mengikut dua lelaki yang juga senior di tempatnya belajar untuk berhibur di sebuah pusat karaoke di Bandar Hilir namun tidak menyangka seorang daripada senior yang berusia 21 tahun itu mencabulnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, siasatan awal mendapati, mangsa keluar bersama dua lelaki berusia 21 tahun pada jam 11 malam, menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

“Ketika seorang senior mangsa sedang menyanyi karaoke, seorang lagi lelaki iaitu suspek berusia 21 tahun tiba-tiba menghampiri pengadu di sofa lalu mencium mulut dan meraba buah dada mangsa. Terkejut dengan tindakan tiba-tiba itu, mangsa tergamam sebelum bertindak menolak suspek dan mempersoal tindakan seniornya itu.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa, suspek tidak menjawab pertanyaannya lalu bertindak membuka seluar jeans mangsa dan berjaya membuka seluar dalam mangsa. Selepas itu suspek memegang zakarnya dan cuba memasukkan ke dalam kemaluan mangsa, namun hanya berjaya menyentuh kemaluan mangsa sebelum suspek ditolak mangsa,” kata Mohd Nor Yhazid, ketika dihubungi.

Menurut mangsa, selepas berjaya menolak suspek, mangsa segera menyarung semula seluar dan berdiri di pintu bilik karaoke, lalu menegaskan kepada suspek supaya menghantarnya pulang ke rumah sewa.

“Kita sudah mengambil keterangan seorang lagi kenalan mangsa yang sedang berkaraoke, malah pemeriksaan perubatan dilakukan pakar O&G ke atas mangsa juga mendapati tidak ada kesan koyak pada kemaluan mangsa.

“Susulan maklumat yang diperoleh, suspek berusia 21 tahun juga sudah ditahan apabila tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pagi ini,” kata Yhazid lagi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sehingga dua sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 5:36 PM