Program bersama masyarakat yang turut disertai CTF.
Program bersama masyarakat yang turut disertai CTF.
 Antara sukarelawan CTF  yang aktif dalam program kebajikan.
Antara sukarelawan CTF yang aktif dalam program kebajikan.
 CTF mengadakan lawatan dan memberi sumbangan kepada keluarga yang memerlukan.
CTF mengadakan lawatan dan memberi sumbangan kepada keluarga yang memerlukan.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Mereka hanya mengenali satu sama lain menerusi media sosial untuk menjalankan aktiviti bersama demi membantu masyarakat di seluruh negara.

Itu keistimewaan Kelab Kebajikan Rakan Charlie Tango Malaysia (CTF) yang terdiri daripada gabungan 30 kelab berlainan yang ibarat keluarga besar dengan menjalankan kerja komuniti sejak tiga tahun lalu.

Menurut Presidennya Mohd Syaiful Idzuwan Nordin, 33, dia bersama beberapa rakan bermula dengan menubuhkan kumpulan WhatsApp dan menyertai program sukarelawan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sebelum ini.

Katanya, selepas beberapa bulan, usahanya itu mendapat sambutan pelbagai pihak yang sudi memberi tajaan berbentuk barangan keperluan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Pada awalnya saya bersama beberapa rakan tertarik dengan kerja amal NGO lain termasuk membantu mangsa banjir, gelandangan dan orang miskin.

“Kami seronok kerana dapat membantu orang lain. Sehingga kini, kami ada 1,600 ahli di seluruh negara dengan semangat kesukarelawanan tinggi,” katanya.

Mohd Syaiful berkata, antara misi paling menyentuh perasaan pernah disertai ialah bantuan banjir besar di Kelantan dan Temerloh, Pahang pada 2014 membabitkan 200 ahli CTF.

Katanya, di situ komitmen ahli diuji apabila mereka perlu bergerak sendiri dan patuh kepada arahan ‘ketua sementara’ yang hanya dikenali dalam tempoh singkat dan dalam masa sama perlu mengagihkan bantuan disumbangkan orang ramai.

“Alhamdulillah, berkat disiplin ahli CTF, kami dapat menyerahkan bantuan daripada syarikat korporat selain kutipan sesama ahli yang simpati dengan nasib mangsa banjir.

“Selepas itu, CTF mengorak langkah lebih jauh dan turut bersama rakan NGO lain di seluruh negara. Dari situ, lebih ramai yang menyatakan minat menjadi ahli sehingga kami mempunyai organisasi dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

Mohd Syaiful berkata, CTF juga bergiat dalam aktiviti bersama gelandangan di ibu negara dan mengagihkan pek makanan bagi memberi pendedahan kepada ahlinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 8:47 AM